
JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri mengingatkan semua pihak untuk tidak mengeruhkan keadaan dengan mempolitikkan isu perubahan cuti hujung minggu di Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara itu tidak wajar dijadikan bahan politik selain menegaskan sekali lagi bahawa aktiviti bekerja pada hari Jumaat tidak akan menganggu instiusi agama Islam.
“Tidak semua perkara perlu dijadikan bahan politik kerana setiap keputusan yang diambil ini adalah yang terbaik untuk negeri dan rakyat Johor secara keseluruhan.
“Kita telah mendapat pandangan dari Mufti Negeri Johor dan Exco Agama Negeri Johor, ketertinggian Islam tidak sedikit pun berkurang bila mana Johor tidak lagi bercuti pada hari Jumaat bermula Januari 2025,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Memetik ayat al-Quran iaitu Surah Al Jumaah sebagai panduan, Onn Hafiz berkata, ayat itu jelas menunjukkan tiada larangan untuk bekerja di hari Jumaat, malah peringatan oleh Allah adalah menghentikan seketika urusan jual beli tatkala masuknya waktu solat.
“Intipati firman tersebut memerintahkan kita umat Islam pada hari Jumaat agar memperbesarkan syiar Islam dengan segera untuk meninggalkan segala urusan dan bersegera bagi menunaikan solat Jumaat.
“Namun selepas solat Jumaat ditunaikan, kita bahkan diperintahkan untuk kembali bertebaran (termasuk kembali bekerja atau melakukan amal ibadah juga jariah) di atas muka bumi mencari apa yang dihajati selagi mana bertepatan dengan landasan Islam.
“Insya-Allah, tanpa mengetepikan kepentingan urusan solat Jumaat, kerajaan negeri yakin keputusan ini bakal memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor di mana mereka akan mendapat lebih masa berkualiti bersama ahli keluarga tersayang dengan memudahkan mereka merancang aktiviti pada hujung minggu.
“Saya berharap agar tidak ada lagi mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi, kenyataan dan menjadikan ia bahan politik yang boleh mengeruhkan keadaan sehingga menjejaskan keharmonian negeri Johor,” katanya.






