
SEMPORNA – Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hilang di perairan Pulau Mataking sejak Jumaat lepas mencecah sehingga 312 batu nautika persegi (BNp).
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid@Razali berkata, pada Isnin, pencarian yang diketuai oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu dibahagikan kepada 12 sektor meliputi keluasan 115 BNp.
Beliau berkata, bagi memperluaskan pencarian, Philippine Coast Guard (PCG) turut menjalankan operasi berikutan faktor arus dan angin yang berkemungkinan membawa mangsa ke perairan Filipina.
“Mangsa dikenali sebagai Prebet Muhammad Zulkarnain Jaffar, 27 tahun dari Batalion 5 RAMD masih belum ditemukan setakat pagi ini.
“Operasi akan diteruskan dengan perluasan radius pencarian dari semasa ke semasa dan berharap agar mangsa dapat ditemui dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.

Menurut Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali, Maritim Malaysia komited memberi sokongan penuh melalui keupayaan aset laut dan anggota.
“Antara aset yang digerakkan Maritim Malaysia ialah bot CENDERAWASIH 9, BANGGI 10, BANGGI 9, BANGGI 11, ADAL 18 dan KILAT 52.
“Operasi turut disertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2, Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta pasukan penyelam TLDM,” ujarnya.
Beliau turut menyeru agar komuniti maritim di sekitar perairan Semporna menyalurkan maklumat sekiranya terlihat tanda-tanda berkaitan dengan menghubungi MRSC Kota Kinabalu di talian 088-387 774 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.








