
KOTA KINABALU – Seluruh masjid dan surau di seluruh Sabah diminta mengadakan solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat bermula selepas solat Maghrib malam ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Agama Negeri Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, Ia sebagai ikhtiar memohon perlindungan Allah SWT daripada bencana banjir dan malapetaka lain.
Jelasnya, arahan tersebut telah disampaikan kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS), Datuk Jumain Abdul Ghani untuk dikoordinasikan ke seluruh negeri.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar negara kita khas negeri Sabah dan rakyatnya dilindungi daripada sebarang mara bahaya, termasuk bencana alam.
“Semoga usaha ini menjadi doa bersama agar negeri Sabah dan rakyatnya sentiasa dilindungi daripada sebarang mara bahaya serta berada dalam keadaan aman dan sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Katanya lagi, penganjuran solat hajat itu dibuat susulan keadaan cuaca tidak menentu yang melanda beberapa daerah di negeri ini.







