
SANDAKAN – Sabah Electricity (SE) perlu merangka pelan sokongan bagi memastikan pemulihan bekalan elektrik dapat dilakukan secara berfasa sekiranya insiden gangguan besar berlaku pada masa hadapan.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karamunting, Datuk Chew Kok Woh berkata, kejadian terputusnya bekalan elektrik selama kira-kira 17 jam bermula pada pukul 5 petang pada Sabtu sehingga pagi Ahad telah memberi kesan besar kepada warga Sandakan.
“Gangguan ini amat mengejutkan dan di luar jangkaan, lebih menyedihkan apabila seluruh warga terpaksa bertahan tanpa bekalan elektrik begitu lama.
“Kejadian ini membuktikan bahawa belum ada satu pelan kecemasan atau pelan kontingensi yang benar-benar berkesan untuk menangani isu mengejut seperti ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Chew turut mengingatkan semua jabatan perkhidmatan awam termasuk SE, Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Hospital, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP), syarikat telekomunikasi dan agensi berkaitan supaya lebih peka terhadap insiden itu.
Katanya, insiden gangguan bekalan elektrik berskala besar perlu dijadikan pengajaran kerana ia bukan sahaja membebankan warga, malah berisiko melumpuhkan kawalan keselamatan di daerah ini.







