PUTRAJAYA – Buli siber tidak wajar lagi dianggap sekadar gurauan di alam maya, namun satu bentuk serangan psikologi halus yang boleh memberi kesan emosi mendalam kepada mangsa, termasuk mendorong kepada kemurungan sehingga membawa kepada perbuatan membunuh diri
Pakar motivasi, Mohamad Nizam Abdul Samar Zammi berkata, perbuatan itu sudah pun menjadi wabak psikologi yang menjerat emosi mangsa, mencetuskan tekanan melampau sehingga mampu meragut nyawa yang tidak berdosa.
Hakikatnya, beliau berpandangan, buli siber adalah ‘racun senyap’ dalam masyarakat moden yang menjejaskan kesejahteraan emosi dan kesihatan mental sehingga membentuk tingkah laku toksik yang melumpuhkan nilai-nilai murni mangsa.
“Kalau ada yang kata buli siber ni gurauan biasa, itu satu kesilapan besar. Ini bukan sekadar ejekan atau sindiran, ia adalah bentuk serangan psikologi halus, yang perlahan-lahan menghakis emosi. Kalau bercakap, lidah boleh menjadi lebih tajam daripada mata petang namun di era digital ini, jari serta papan kekunci menjadi pembunuh tanpa arah.
“Buli siber ialah serangan emosi yang halus berbanding dengan buli fizikal yang nampak kesannya secara luaran, buli siber merosakkan dari dalam susulan ia memberi tekanan berpanjangan dan menyebabkan trauma psikologi yang sukar dirawat yang memberi impak berterusan kepada mangsa,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohamad Nizam berkata, tekanan emosi yang berterusan akibat dibuli boleh menyebabkan individu merasa putus asa dan tidak mampu mengatasi masalah mereka sehingga mangsa merasa kehilangan, ketakutan dan cemas terhadap tindakan susulan yang akan dilakukan oleh pembuli
“Ini boleh menyebabkan gangguan tidur dan masalah kesihatan mental lain seperti kebimbangan dan kemurungan. Komentar negatif dan penghinaan secara dalam talian juga boleh merosakkan harga diri individu, membuat mereka merasa tidak berharga dan tidak dihargai.
“Boleh saya katakan mangsa kemungkinan menjadi trauma dalam jangka panjang kerana penghinaan itu telah melekat dalam dirinya. Maka, terjadilah takut nak bergaul dengan orang, mula hilang kepercayaan diri sehingga akan menimbulkan risiko percubaan membunuh diri malah tidak menolak kemungkinan boleh menjadi gila,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Nizam berkata, sokongan psikologi perlu ditingkatkan bagi membantu mangsa buli siber mengatasi trauma dan membina semula keyakinan diri di samping mangsa perlu mendapatkan rawatan apabila mereka menyedari emosi mula terganggu.
Jelasnya, kesedaran dalaman dan kekuatan spiritual juga memainkan peranan penting dalam membina daya tahan individu terhadap serangan buli siber, khususnya golongan yang mempunyai tahap ketahanan mental rendah
“Bila mangsa mula rasa anxiety, dapatkan rawatan daripada doktor mahupun pakar kerana mereka ada kaedah untuk memulihkan dan kedua kita perlu rasa bersyukur dengan apa yang Allah telah ciptakan kepada kita. Jangan kisah dengan hinaan orang namun bersyukurlah sebab apa hari ini bukan kerana orang kita jadi begini namun sebenarnya datang dari Allah.
“Kalau seseorang itu dekat dengan Tuhan, dia tidak mudah terkesan. Dia akan lebih yakin bahawa setiap manusia dijadikan sempurna dan unik. Tak perlu terkesan dengan body shaming atau ejekan di media sosial,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Eksekutif Yayasan Generasi Malaysia (YGM) berkata, masyarakat Malaysia harus bekerjasama menangani dan mencegah amalan buli siber, terutama di media sosial di samping bersama-sama mewujudkan kesedaran rakyat mengenai buli siber.
“Jangan lagi merasakan masyarakat baca benda ni tak bagus namun kita merasakan tiada masalah, kita kena fikirkan bersama dengan membuat laporan, selain membantu melawan komen-komen mereka menjadi mangsa dan tidak lagi sekadar menjadi penyokong membaca tanpa membalas walaupun mengetahui ada individu yang dibuli.
“Selain itu, perlu ada didikan diri dan anak-anak tentang etika digital agar tidak mengeluarkan komen atau kenyataan yang bersifat membuli tanpa disedari. Kita kena ajar anak-anak supaya faham apa itu buli digital supaya mereka tidak jadi pembuli tanpa sedar di samping jangan hanya mengharapkan Kementerian Komunikasi sahaja untuk membuat kesedaran.
“Setiap kementerian yang dekat dengan komuniti perlu terlibat langsung dalam Kempen Internet Selamat (KIS) serta media arus perdana harus memainkan peranan menyiarkan segmen khas berkaitan buli siber secara berkala agar ia dapat memberi kesedaran kepada masyarakat awam secara holistik. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu bertindak lebih tegas terhadap pelaku buli siber dengan pantas diambil tindakan dan hukuman,” katanya.








