KOTA KINABALU – Orang ramai yang mengunjungi kiosk PeKa B40 di Ruang Legar Wisma Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Sabah bukan saja sekadar menerima manfaat Program Skim Peduli Kesihatan Kumpulan B40 (PeKa B40) secara percuma malah dapat membawa balik sekampit beras.
Menurut Pengarah Klinik Dr Zulfikar Group, Dr Zulfikar Zulkifli, kiosk PeKa B40 yang dibuka secara berkala di Ruang Legar Wisma UTC Sabah setiap pada hari Selasa bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang.
“Klinik kami telah mengambil langkah proaktif dengan bekerjasama dengan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) untuk menarik minat orang ramai dalam usaha memperkenalkan PeKa B40.
“Antara NGO terlibat seperti Pertubuhan Bumis Sabah Bersatu (USBO) dan Aku Budak Likas (ABL) yang menyediakan dana untuk membeli beras dan menyumbangkannya kepada individu yang layak menerima PeKa B40.
“Adanya sumbangan beras dapat menggalakkan lagi sambutan PeKa B40 dalam kalangan penerima.
“Kami berharap inisiatif ini akan mendapat sokongan lebih banyak pihak termasuk NGO dan Kerajaan Negeri agar dapat diperluaskan ke kawasan-kawasan lain di seluruh Sabah.
“Kami juga ingin memaklumkan bahawa kami tidak merancang untuk berhenti setakat ini dan berhasrat untuk terus mengembangkan program ini ke seluruh Sabah,” katanya ketika ditemui wartawan TMP di Ruang Legar UTC Sabah di sini pada Selasa.

Tambahnya, program ini berterusan sepanjang tahun dan juga boleh dilakukan di klinik-klinik panel PeKa B40 yang terpilih termasuk di klinik kesihatan kerajaan.
Zulfikar juga berharap usaha itu dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Sabah untuk mendaftar dan menerima manfaat PeKa B40.

Beliau berkata ini menunjukkan komitmen berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan semua rakyat Malaysia berumur 40 tahun dan ke atas khususnya dalam kalangan B40 dapat menjalani saringan kesihatan.
“Menurut statistik, Sabah antara negeri yang paling rendah kadar pengambilannya untuk PeKa B40 berbanding dengan negeri-negeri lain.
“Dianggarkan masih terdapat kira-kira 400,000 rakyat Sabah yang layak tetapi belum mendaftar untuk PeKa B40.
“Dengan pertambahan individu berumur 40 tahun pada tahun depan maka jumlah ini dijangka meningkat,” jelas beliau.
Menurut Zulfikar, melalui program ini rakyat akan mendapat manfaat daripada peningkatan dana sebanyak RM80 juta dalam Belanjawan 2025 seperti yang diumumkan Perdana Menteri.
Jelas beliau, bagi kelayakan PeKa B40, individu mestilah berumur 40 tahun ke atas dan merupakan penerima Sumbangan Tunai Rakyat (STR).
“Mereka juga boleh membawa pasangan masing-masing untuk mendapatkan saringan.
“Jika individu memenuhi kriteria ini, mereka secara automatik layak untuk memohon.
“Untuk menyemak kelayakan, mereka boleh mengakses laman web PeKa B40 dengan hanya perlu mengisi nombor kad pengenalan untuk menyemak jika pernah membuat permohonan dan maklumat klinik yang terlibat juga akan dipaparkan,” katanya.
Ketika ditanya program terdekat, Zulfikar berkata akan menyertai Program Komuniti Daerah Mobile Sabah 2024 anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berlangsung pada 14 dan 15 Disember di Padang Pekan Daerah Kunak.
Program dijangka akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang.
Sebanyak empat manfaat PeKa B40 yang ditawarkan iaitu saringan kesihatan percuma meliputi saringan kesihatan mental; bantuan pembelian alat perubatan berjumlah sehingga RM20,000 seorang; insentif melengkapkan rawatan kanser sebanyak RM1,000 serta bayaran insentif tambang pengangkutan kepada pesakit apabila mendapatkan rawatan di hospital kerajaan atau klinik yang berdaftar.




