KUANTAN – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang menyediakan pusat pemindahan sementara ternakan (PPST) bagi menempatkan haiwan ternakan, terutamanya lembu ketika musim tengkujuh.
Langkah itu bagi mengatasi masalah haiwan ternakan hilang akibat dicuri setiap kali banjir melanda kawasan tertentu di negeri ini.
Pengarah Veterinar Pahang, Datuk Dr Kamaliah Ghazali berkata, buat masa ini PPST terbabit disediakan di Kampung Padang Rumbia, dekat Pekan.
“Untuk PPST ini, kita adalah negeri pertama memperkenalkan konsep pusat pemindahan khusus untuk haiwan ternakan.
“Ini susulan aduan dan rungutan daripada penternak yang mendakwa banyak haiwan ternakan mereka dicuri pihak tidak bertanggungjawab ketika banjir.
“PPST di Kampung Padang Rumbia ini mampu memuatkan sehingga 50 ekor lembu pada satu masa dan haiwan ternakan terbabit akan ditempatkan di situ antara dua minggu hingga sebulan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup kajian penghasilan makanan ternakan daripada sisa nanas di pejabat veterinar Kuantan, hari ini.
Dr Kamaliah bagaimanapun menasihatkan penternak lebih peka dengan perubahan cuaca semasa dan tidak menunggu paras air meningkat untuk memindahkan haiwan ternakan mereka.
Katanya, terdapat kes tertentu dilaporkan berpunca daripada sikap penternak yang menunggu hingga saat akhir sebelum membawa haiwan ternakan ke lokasi lebih selamat.
“Sekarang bulan Disember memang kita tahu musim hujan, jadi tak perlu nak tunggu sampai laluan terkepung dinaiki air, baru nak pindahkan haiwan ternakan mereka.
“Kita sedia maklum kebanyakan penternak ada kawasan sendiri untuk letakkan haiwan masing-masing apabila berlaku banjir, namun ada ketikanya mereka tak sempat nak pindahkan kerana air melimpah dan laluan terputus,” katanya.




