
KOTA KINABALU – Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) menawarkan kepada pelajar yang akan melanjutkan pengajian di peringkat asasi, matrikulasi dan A-Level bermula tahun ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Selain itu, elaun biasiswa bagi semua pelajar tajaan yang sedang melanjutkan pengajian di universiti awam dan swasta akan turut diseragamkan.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan BKNS dalam menyokong pembangunan pendidikan di negeri ini bagi memastikan lebih ramai pelajar berpotensi mendapat akses kepada pendidikan tinggi,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri ke-36 anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah (JPANS) Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Isnin.

Hajiji berkata, tahun ini Kerajaan Negeri telah memperuntukkan jumlah tertinggi untuk biasiswa berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Daripada hanya RM50 juta pada tahun 2020, peruntukan BKNS telah meningkat setiap tahun sepanjang lima tahun lalu, dan mencapai RM136 juta pada tahun 2025.
“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM86 juta berbanding tahun 2019, mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyokong pendidikan anak-anak Sabah,” katanya.
Hajiji berkata pelbagai bentuk bantuan pendidikan yang disediakan melalui jabatan dan agensi berbeza mencerminkan komitmen kuat kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan dan masa depan anak-anak Sabah.
“Kita akan terus memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dijaga dan diberi perhatian sewajarnya, tanpa mengira latar belakang.
“Kepada golongan belia, belajarlah bersungguh-sungguh dan berusahalah mencapai kecemerlangan lebih tinggi.
“Terokailah bidang profesional seperti minyak, gas dan tenaga, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta Kecerdasan Buatan (AI), bagi melahirkan individu berkepakaran tinggi dan berkualiti dari Sabah dalam pelbagai sektor,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri terus memastikan dasar kerajaan dalam bidang pendidikan menjadi keutamaan terutama melalui pembangunan modal insan.
“Jadi, nampak sejak beberapa tahun kebelakangan ini usaha ini berjaya untuk kita membantu pelajar-pelajar bukan saja yang cemerlang tetapi mereka yang memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan,” katanya semasa sidang media.
Sebagai rekod, seramai 117 pelajar ditawarkan biasiswa kerajaan daripada BKNS, Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun lepas.





