
PADANG BESAR – Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup dadah apabila menemui satu guni berisi dedaun kering disyaki bunga ganja berhampiran tembok keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand di sini, hari ini.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Shahrum Hashim berkata, rampasan dilakukan sepasukan anggota Kompeni C Batalion 18, PGA Pengkalan Hulu dalam Op Taring Wawasan Kedah/Perlis pada pukul 5 pagi hasil maklumat kamera litar tertutup (CCTV).
“Pemeriksaan di kawasan sekeliling Pos BKC 7 menemukan satu guni berwarna-warni berisi dedaun kering disyaki dadah jenis bunga ganja.
“Guni tersebut dipercayai cuba diseludup dari negara jiran Thailand ke Malaysia melalui tembok keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, rampasan itu melibatkan anggaran berat 23 kilogram dengan nilai pasaran dianggarkan sebanyak RM690,000.
Dadah tersebut diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.
Katanya, siasatan lanjut oleh Cawangan Risik Batalion 18 PGA masih dijalankan bagi mengenal pasti individu atau sindiket yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah.
“Briged Utara PGA komited mempergiatkan usaha mengekang penyeludupan di sempadan Perlis dan Kedah serta tidak akan berkompromi dalam penguatkuasaan undang-undang,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai agar menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah sempadan.







