
MUKAH – Projek benteng hakisan tebingan sungai bernilai RM40 juta tidak akan menjejaskan kediaman penduduk di Kampung Datuk dan Kampung Penakub Hilir, tegas Royston Valentine.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tellian itu berkata, projek tersebut dilaksanakan menggunakan kaedah yang lebih mesra komuniti.
Menurutnya, kaedah penambakan tanah dari arah sungai akan digunakan bagi meminimumkan gangguan kepada penduduk setempat.
“Kerja-kerja pembinaan lebih tertumpu dari arah sungai berbanding daratan bagi mengurangkan kesan kepada penduduk, walaupun terdapat sedikit penggunaan laluan darat yang hanya melibatkan pergerakan minimum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Penakub Hilir pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau menasihati penduduk agar menyalurkan sebarang aduan berkaitan projek kepada pihak bertanggungjawab seperti agensi pelaksana serta Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK), dan tidak menyebarkannya di media sosial bagi mengelakkan salah faham.
Sementara itu, Ketua Kampung Penakub Hilir, Tanrapijan Serakawi, menzahirkan penghargaan atas usaha merealisasikan projek tersebut.
Menurutnya, projek itu bukan sahaja mengurangkan hakisan tebing sungai, malah menjamin keselamatan penduduk serta melindungi kawasan persekitaran dalam jangka panjang.
“Selain itu, ia turut berpotensi meningkatkan ekonomi dan sektor pelancongan setempat,” ujarnya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Mukah, Paleadzman Ahip.





