
KOTA KINABALU – Rakyat khususnya golongan belia perlu memahami kepentingan kerjasama pihak kerajaan dan penjawat awam dalam mentadbir negara secara berkesan.
Timbalan Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Mohd Nur Hilmie Milus berkata hubungan antara kedua-dua pihak tersebut membentuk satu sistem birokrasi yang bertanggungjawab memastikan setiap dasar digubal dapat dilaksanakan dengan berkesan bagi kesejahteraan rakyat.
Katanya, sistem pentadbiran negara berfungsi dengan pihak kerajaan sebagai pembuat dasar dan penjawat awam sebagai pelaksana dasar.
“Dalam mendepani pelbagai isu pentadbiran, sering kali kesalahan hanya diletakkan kepada kerajaan, tanpa melihat komitmen dan peranan penjawat awam dalam bertanggungjawab memastikan keberkesanan dasar.
“Penting bagi rakyat, khususnya golongan belia untuk memahami proses pembuatan dasar serta bagaimana sesuatu dasar itu digubal, diluluskan dan akhirnya dilaksanakan sehingga ke peringkat akar umbi.
“Kefahaman ini penting agar rakyat dapat menilai secara objektif prestasi pihak kerajaan dan penjawat awam dalam memastikan pentadbiran negara berjalan lancar dan berkesan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Hilmie, kerajaan (ahli politik, menteri dan kabinet) bertanggungjawab dalam merangka dan menentukan dasar serta memastikan pengurusan perbelanjaan negara dibuat dengan baik untuk kesejahteraan rakyat.
Katanya, penjawat awam pula bertindak sebagai pelaksana dasar memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan berlaku dengan cekap, adil dan berkesan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana kepentingan politik.
Hilmie turut mengulas lanjut dengan mengambil contoh dari Amanat Tahun Baharu 2025 oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Khamis.
“Beliau (Ketua Menteri) menegaskan Jabatan Kerja Raya (JKR) bertanggungjawab memantau dan memeriksa semua jalan raya secara berkala untuk memastikannya berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan oleh rakyat.
“Maka, pentadbiran yang berkesan hanya boleh dicapai melalui kerjasama erat antara kedua-dua pihak, jika wujud kelemahan sistem, punca masalah perlu dianalisis dengan mendalam,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau turut menjelaskan MBS mahu memperingatkan semua pihak agar memainkan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab.
“Kerajaan perlu memastikan dasar yang digubal bersifat inklusif dan berpandukan kepentingan rakyat, sementara penjawat awam pula mesti menjalankan tugas dengan penuh amanah, cekap, tangkas dan berintegriti.
“Oleh itu, MBS serius menyeru anak muda Sabah lebih proaktif dalam memahami dasar-dasar kerajaan, menggunakan hak demokrasi dengan bijak dan berani memberi maklum balas yang membina terhadap sistem pentadbiran negara,” ujarnya.







