
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah menafikan dakwaan bahawa syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (Esteel) telah menangguhkan pelaburan mereka di negeri ini akibat kehilangan keyakinan terhadap kerajaan semasa adalah tidak berasas.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe menegaskan bahawa projek pelaburan bernilai tinggi di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) itu berjalan mengikut perancangan tanpa sebarang kelewatan.
“Pelan Pembangunan (DP) pembinaan kilang pembuatan keluli hijau ini telah diluluskan oleh Majlis Daerah Sipitang.
“Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) turut meluluskan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk kerja-kerja tanah.
“Siasatan tanah bagi tapak pembinaan kilang Fasa 1 telah dilaksanakan manakala kajian ‘Full Mission Shiphandling Simulation’ (FMSS) bagi pembangunan jeti telah dilaksanakan.
“Dalam masa yang sama, Terma Rujukan (ToR) bagi Laporan EIA telah disiapkan untuk dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar bagi kelulusan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media.
Mengulas lanjut, Phoong berkata, Kerajaan Negeri turut mengumumkan bahawa Lesen Pengilang (FML) bagi pelaburan fasa satu telah diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada 24 Januari lalu.
“Kelulusan ini mencerminkan sokongan berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh sektor pembuatan di Sabah serta meningkatkan daya saing negeri sebagai destinasi pelaburan utama.
“Selain memastikan kelangsungan pelaburan ini, Kerajaan Negeri juga komited memenuhi keperluan utama Syarikat Esteel, termasuk bekalan gas asli.
“Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian bagi pembekalan gas antara Petronas, Sabah Energy Corporation (SEC) dan Esteel dijadualkan berlangsung pada 28 Februari ini,” katanya.
Tambah beliau, usaha ini nyata membuahkan hasil apabila Esteel terus menunjukkan komitmen berterusan dalam pelaburan mereka di negeri ini.
“Sebagai tanda kesungguhan Esteel untuk meneruskan pelaburan di Sabah, Perjanjian Penyewaan Tanah bagi fasa dua dan fasa tiga di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) telah dimeterai pada 31 Disember 2024.
“Perkara ini membuktikan keyakinan syarikat pelabur terhadap kestabilan serta sokongan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan pelaburan berimpak tinggi ini,” ujarnya.







