Belanjawan 2026 disaran seimbang – kurang kos, perkasa kemahiran digital

PUTRAJAYA – Belanjawan 2026 dijangka akan menjadi platform sebagai peluang dalam mengurangkan kos, kadar cukai di samping meningkatkan pertumbuhan digital, kemahiran pekerja serta mewujudkan dasar pekerja asing yang adil.

Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Datuk Seri Abdul Malik Abdullah berkata, langkah terbabit dilihat akan dapat memastikan negara kekal berdaya saing dan sentiasa bersedia dalam menghadapi cabaran pada masa depan.

Menurutnya, sebagai belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan siri Belanjawan MADANI keempat, ia mesti mengimbangi penjanaan hasil dengan mengekalkan daya saing perniagaan dalam persekitaran global yang semakin tidak menentu.

“FMBA mencadangkan beberapa langkah yang menekankan penstrukturan semula cukai, transformasi digital, pembangunan modal insan dan penjajaran dasar, memastikan perniagaan Malaysia boleh berkembang maju serta menyokong matlamat sosio-ekonomi negara.

“Antara lain, FMBA mencadangkan menaikkan ambang pendaftaran Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi syarikat penyewaan hartanah dan pajakan daripada RM1 juta kepada RM3 juta dalam perolehan tahunan untuk mencerminkan inflasi dan skala perniagaan yang berkembang,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.

Mengulas lanjut, Abdul Malik berpandangan, terdapat keperluan siling pengecualian cukai perkhidmatan dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM3 juta untuk mengurangkan tekanan kewangan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghadapi kos hartanah lebih tinggi.

“FMBA juga mencadangkan garis masa pelaksanaan cukai perkhidmatan daripada 4.0 peratus pada 2026 kepada 8.0 peratus dalam tempoh 10 tahun untuk mengelakkan kejutan kos yang mendadak kerana kos hartanah membentuk kira-kira 20 peratus daripada perbelanjaan operasi perniagaan.

“Cukai perkhidmatan juga harus dikurangkan kepada 3.0 peratus untuk restoran bebas di luar kompleks hospitaliti untuk meningkatkan daya saing makanan dan minuman serta inflasi harga makanan yang sederhana,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Malik berkata, keperluan juga untuk pembiayaan khusus dengan aplikasi mudah untuk membantu PKS beralih kepada e-invois mandatori kerana peningkatan sistem, latihan kakitangan dan kos pematuhan menjadikannya jauh daripada kos neutral.

Beliau berpendapat, pihaknya turut mencadangkan pembiayaan kerajaan untuk membiayai bersama program latihan reka bentuk industri dalam kemahiran digital, aplikasi AI, dan transformasi organisasi.

“Perkara itu dapat memastikan latihan yang relavan serta menyokong peralihan Malaysia kepada ekonomi berpendapatan tinggi dan membantu perniagaan menyesuaikan diri dengan perubahan automasi dan rantaian bekalan global.

“FMBA menyokong Pelan Tindakan Kecerdasan Buatan (AI) 2026–2030 oleh kerajaan, meminta insentif penggunaan teknologi PKS, program pembiayaan AI dengan kemahiran semula tenaga kerja selari, pelaburan infrastruktur keselamatan siber dan inisiatif ekuiti digital.

“Ini akan memastikan perniagaan merentas semua negeri dan wilayah mendapat manfaat yang sama, menghalang jurang digital yang boleh menjejaskan daya saing serantau Malaysia,” katanya.

Belanjawan 2026 dijadual dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Parlimen pada 10 Oktober depan.

Related Posts

Warga Pulau Banggi sambut baik peruntukan lebih RM31 juta diumum PM

KUDAT – Warga Pulau Banggi menyambut baik pengumuman peruntukan lebih RM31 juta oleh Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan kerja beliau ke pulau berkenaan. Christine Norshidah Jamlin,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pelan kesinambungan bekalan minyak negara diumum pertengahan bulan ini

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka mengumumkan pelan kesinambungan bekalan minyak negara pada pertengahan bulan ini susulan ketidaktentuan bekalan global akibat konflik berlarutan di Asia Barat dan penutupan Selat Hormuz. Menteri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Pahang perlu bertemu segera isu eksport pasir sungai

Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Pahang perlu bertemu segera isu eksport pasir sungai

Pemuda UMNO Bera harap titah Tengku Hassanal diberi perhatian Kerajaan Persekutuan

Pemuda UMNO Bera harap titah Tengku Hassanal diberi perhatian Kerajaan Persekutuan

Program kesihatan dan kesejahteraan Beratok 2026 meriahkan semangat kebersamaan penduduk

Program kesihatan dan kesejahteraan Beratok 2026 meriahkan semangat kebersamaan penduduk

Program K.A.W.A.N perkukuh penyampaian inisiatif kerajaan kepada rakyat

Program K.A.W.A.N perkukuh penyampaian inisiatif kerajaan kepada rakyat

Pahang terus jadi nadi utama kepentingan FELDA

Pahang terus jadi nadi utama kepentingan FELDA

Perlu penyelesaian jangka panjang trafik Telipok, alih bulatan tidak boleh tergesa-gesa

Perlu penyelesaian jangka panjang trafik Telipok, alih bulatan tidak boleh tergesa-gesa