
OLEH: HAZIQ AZHAR, HELDA JULIE
KUCHING – Menjelang pembentangan Belanjawan 2026, rakyat menyuarakan harapan agar kerajaan memperkenalkan dasar yang lebih strategik, mampan dan memberi impak jangka panjang, bukan sekadar bantuan sementara.
Bagi Mohammad Rezza Abdullah Bahida, 33, belanjawan kali ini perlu beralih kepada pembentukan ekosistem ekonomi yang lestari dengan menumpukan tiga perkara utama iaitu penciptaan pekerjaan masa depan, pengawalan kos sara hidup dan peningkatan kualiti graduan.
“Belanjawan perlu memberi insentif besar kepada syarikat yang melabur dalam ekonomi digital, teknologi hijau dan Kecerdasan Buatan (AI).
Ini penting untuk mewujudkan pekerjaan bernilai tambah tinggi dan mengurangkan masalah graduan bekerja dengan gaji rendah,” katanya.

Dia turut menegaskan keperluan kerajaan melakukan intervensi struktural bagi menangani tekanan kos sara hidup.
“Daripada hanya memberi bantuan tunai, kerajaan perlu melabur secara besar-besaran dalam teknologi pertanian moden atau smart farming untuk mengukuhkan keselamatan makanan tempatan.
“Langkah ini secara langsung akan membantu menstabilkan inflasi teras, terutamanya harga makanan,” jelasnya.
Selain itu, Mohammad Rezza mencadangkan agar peruntukan dana turut difokuskan kepada program latihan semula kemahiran dan ‘micro-credential’, khususnya dalam bidang teknikal dan industri 4.0.
“Ini penting supaya graduan lebih cepat diserap ke pasaran kerja dan memiliki kemahiran yang menepati kehendak industri semasa,” ujarnya.

Sementara itu, Melvis Lai, 39, seorang usahawan dari Sarawak, menyifatkan langkah kerajaan Sarawak memperkenalkan pendidikan percuma mulai 2026 sebagai satu permulaan besar yang wajar dicontohi seluruh Malaysia.
“Ini adalah langkah yang sangat baik untuk Sarawak. Saya berharap seluruh Malaysia dapat mengikuti jejak ini supaya semua rakyat berpeluang melanjutkan pelajaran tanpa beban kewangan,” katanya.
Melvis turut berharap sistem pendidikan percuma dapat diperluas ke peringkat awal kanak-kanak agar generasi muda mendapat akses pendidikan sejak usia 6 tahun.
“Jika pendidikan percuma dapat dilaksanakan sepenuhnya dari peringkat rendah hingga universiti, ia akan menjadi asas kukuh kepada kemajuan negara,” tambahnya.

Dalam pada itu, George, 42, seorang penjawat awam, berharap Belanjawan 2026 menambah baik bantuan sedia ada di bawah inisiatif Kerajaan MADANI agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh oleh semua lapisan rakyat, termasuk penduduk luar bandar dan pedalaman.
“Harapan saya untuk belanjawan yang akan datang ialah menambah baik bantuan sedia ada seperti SARA RM100 one-off kepada RM200. Selain itu, penyebaran maklumat tentang inisiatif Kerajaan MADANI juga perlu diperkasakan supaya penduduk di pedalaman, khususnya di Sarawak, tahu mengenai bantuan yang disediakan.
Akhir sekali, saya berharap Kerajaan MADANI dapat meneruskan inisiatif seperti SARA RM100 one-offkepada semua golongan tanpa mengira status,” katanya.
Belanjawan 2026 dijangka memberi tumpuan terhadap kesejahteraan rakyat, pembangunan bakat muda dan strategi jangka panjang bagi memastikan Malaysia terus berdaya saing dalam ekonomi global yang sedang berubah pesat.







