BELANJAWAN 2026 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat pada pukul 4 petang ini menjadi belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta menandakan fasa baharu pelaksanaan agenda pembangunan negara berteraskan prinsip Ekonomi MADANI.
Belanjawan ini merupakan belanjawan keempat Kerajaan MADANI pimpinan Anwar, yang juga Menteri Kewangan, dan akan menjadi asas utama kepada pelaksanaan pelan pembangunan negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
Pembentangan itu akan disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen tempatan dan platform media sosial, termasuk saluran BERNAMA TV yang turut menayangkan Program Khas Analisis Prapembentangan Belanjawan 2026 pada pukul 3 petang.
Menurut kenyataan Prabelanjawan 2026 yang disiarkan menerusi laman sesawang khas Kementerian Kewangan (MoF), Belanjawan 2026 akan meneruskan momentum pembangunan berasaskan asas kukuh yang telah dibina melalui Belanjawan MADANI sebelum ini.
Belanjawan ini turut memperkukuh tiga tonggak utama Ekonomi MADANI yang memberi penekanan kepada usaha menaikkan siling pertumbuhan negara, meningkatkan taraf hidup rakyat, serta memperkukuh tadbir urus dan reformasi sektor awam.
Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global dan persaingan yang semakin sengit, Belanjawan 2026 dijangka menumpukan kepada pelaksanaan agenda ekonomi jangka panjang Malaysia, di samping menangani cabaran jangka pendek untuk mengekalkan momentum pertumbuhan dan daya tahan ekonomi negara.
Selain itu, tumpuan juga akan diberikan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat melalui bantuan bersasar yang berasaskan keberhasilan bagi menambah baik kualiti hidup rakyat secara menyeluruh.
Anwar dalam taklimat kepada editor media di Putrajaya pada Rabu lalu menegaskan bahawa Belanjawan 2026 akan memberi keutamaan kepada usaha membela rakyat, memperkukuh ekonomi, serta memantapkan asas negara yang mampan dan inklusif.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat dalam laman sesawang Parlimen, Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 akan dibahaskan pada Peringkat Dasar selama lapan hari selepas pembentangan hari ini.
Sesi penggulungan oleh kementerian dijadual berlangsung dari 29 Oktober hingga 4 November, diikuti perbahasan pada Peringkat Jawatankuasa dari 5 hingga 27 November bagi kelulusan di peringkat Dewan Rakyat.








