
Oleh: Siti dan A. Athirah
KUALA LUMPUR – Belanjawan 2025 membawa khabar gembira buat rakyat Malaysia apabila Kerajaan Madani memperkenalkan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada semua lapisan termasuk warga emas hingga golongan bujang dan keluarga dengan anak-anak bersekolah.
Selepas Belanjawan 2025 dibentangkan pada 18 Oktober, The Malaysia Press menjalankan tinjauan di kawasan ibu kota bagi mendapatkan reaksi dan maklum balas, rata-rata rakyat Malaysia memberikan reaksi yang positif serta menzahirkan rasa syukur kepada Kerajaan Madani atas usaha-usaha membantu rakyat menangani kos sara hidup.
Menurut Zahiran Nawi, 78 tahun, dia berasa amat seronok dengan insentif yang diberikan kepada warga emas.
“Mak cik nak simpan bantuan ini supaya boleh buat perbelanjaan rumah seperti makanan barangan asas. Dengan bantuan ini juga dapat bantu mak cik untuk biayai kos perubatan dan simpanan wang kecemasan.
“Anwar ini memang baik orangnya dan seseorang yang suka tolong rakyat,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya lagi, bantuan ini amat bagus dan sangat diperlukan oleh rakyat lebih-lebih lagi warga emas dan ibu tunggal sepertinya bagi meringankan beban kos sara hidup.
“Mak cik harap kerajaan akan datang dapat mengekalkan bantuan yang sedia ada dan menambahkan lagi peruntukan bagi bantuan seperti ini.
“Mak cik juga mendoakan Anwar diberikan kesihatan, dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki,” tambahnya lagi.
Turut memberi reaksi positif, seorang pekerja sambilan Nur Aribah Mohd Noor, 22, apabila dibentangkan mengenai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori bujang berjumlah RM600 di Belanjawan 2025.
“Saya sangat gembira dengan kenaikan STR sebanyak RM100 bagi kategori bujang. Bantuan ini akan membantu menanggung komitmen yang sedia ada seperti insurans kerana sesetengah syarikat tidak menyediakan insurans kepada pekerja.
“Saya juga ada pinjaman pelajar, jadi dengan adanya bantuan ini dapatlah saya gunakan untuk bayar semula pinjaman dan selebihnya saya boleh bayar perbelanjaan lain seperti sewa rumah dan makan minum,” katanya ketika ditemui pada Sabtu.
Aribah juga berharap bantuan ini boleh ditambah lagi bagi membantu kos sara hidup para bujang yang baharu sahaja ingin membina kehidupan.
Tidak ketinggalan, Akmawati, 43 tahun merupakan ibu kepada empat orang anak juga menyatakan bantuan awal persekolahan ini dapat membantu mak ayah lebih-lebih lagi yang mempunyai anak lebih dari seorang.
“Alhamdulillah, bantuan ini sebenarnya sedikit sebanyak membantu mak ayah. Anak-anak di sekolah ini ada banyak keperluan tambahan selain yang sedia ada. Sebagai contoh, aktiviti kelas atau kokurikulum yang memerlukan anak-anak mendapatkan bahan tambahan dari luar. Sebagai ibu bapa, kita perlu beli dan sediakan.
“Jadi dengan bantuan ini, mak ayah boleh merancang perbelanjaan dengan lebih baik untuk anak-anak kerana perkara ini juga penting untuk pembelajaran anak-anak di sekolah, katanya lagi.
Akmawati juga mencadangkan agar sumbangan ini diperkasakan dengan lebih bagi agar sumbangan dapat disasarkan kepada mereka yang betul-betul memerlukan.









