DALAM setiap pertempuran dan peperangan, strategi adalah sangat penting bagi memastikan kemenangan.
Setiap kali berlaku konflik yang memerlukan kerjasama pelbagai pihak, adalah perlu diutamakan untuk memilih pasukan yang bagus dan berkemampuan.
Demikianlah juga dalam bab politik, memilih rakan komponen atau rakan gabungan amat kritikal kerana jika tersilap buat pilihan, risiko besar untuk pasukan itu berdepan kegagalan.
Dan apabila pilihan sudah dibuat, janganlah pula kita menyerang atau mencari salah rakan gabungan kita.
![]()
Kita sedang menuju fasa pemulihan negara, selepas lebih lima dekad menjalani norma kehidupan yang biasa.
Bahkan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), proses penambahbaikan tadbir urus yang kemudiannya dikenali sebagai tata kelola dimulakan.
Cuma ia terganggu susulan COVID-19 dan kemudiannya tersangkut dengan ‘Langkah Sheraton’ pada Februari 2020.
Suhu panas politik negara selepas episod ‘pengkhianatan’ itu berterusan sehingga November 2022 apabila pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan.
![]()
Dan selepas keputusan PRU15 diumumkan, negara ini diuji dengan situasi hampir sama seperti PRU14, yang mana tidak ada parti boleh menjadi paling dominan.
Akhirnya, satu gabungan dan perkongsian kuasa membabitkan beberapa kumpulan perlu dilakukan, bagi memberi laluan kepada penubuhan kerajaan.
Maka, hasil kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, maka lahirlah apa yang kita kenali sebagai Kerajaan Perpaduan.
Kerajaan ini yang kemudiannya menjadi Kerajaan MADANI, sudah melakukan segala kebaikan dengan kemampuan yang ada.
![]()
Dalam kerajaan ini ada pelbagai gabungan parti yang sebelum ini menjadi lawan sejak sekian lama.
Namun, ia masih bertahan dan berjalan seperti biasa walaupun sering diasak dari dalam dan luar.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Julai tahun lalu dilaporkan berkata, suasana politik semasa memerlukan UMNO menerima realiti tiada lagi parti yang boleh menjadi dominan dan boleh bergerak secara tunggal seperti sebelum ini.
“Bagaimana hebat kita letak pemimpin, jika mana-mana parti dalam gabungan Barisan Nasional (BN) tidak mampu membawa kaumnya, maka kita akan kalah.
“Jadi, kita perlu menerima hakikat tidak ada mana-mana parti yang dominan, kita perlu fikir dengan siapa kita wajar bekerjasama.
“Zaman ini zaman fleksibel, apabila UMNO bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan, ia hanya perubahan jajaran strategi dan taktik, bukannya prinsip dan nilai.
“Prinsip dan nilai kita tetap mendukung memperjuangkan Melayu dan agama Islam.
“Ingat, tidak ada mana-mana perikatan (kerjasama parti politik) yang kekal selama-lamanya. Tetapi perjuangan kita, ideologi kita, tidak berubah (kerana) yang berubah, strategi dan taktik,” katanya ketika berucap merasmikan merasmikan Mesyuarat Perwakilan Persidangan UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Pulau Pinang, ketika itu.
![]()
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri juga sering mengingatkan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan supaya sentiasa mengambil tanggungjawab dan membuat pertimbangan sebaiknya, sebelum melakukan apa-apa tindakan.
Ini kerana, katanya, perasaan dan sensitiviti antara rakan gabungan perlu diberi perhatian bagi menentukan ketahanan gabungan yang ada.
![]()
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke turut mengakui kedudukan Kerajaan Perpaduan dipimpin Anwar ketika ini adalah yang paling stabil, kukuh dan kuat.
“Walaupun ada pelbagai cubaan pihak lawan untuk ganggu-gugat, dakwa kerajaan akan tumbang, bertukar perdana menteri… hakikatnya kerajaan sekarang pada kedudukan yang kukuh dan semua parti (dalam kerajaan) beri komitmen tertinggi kekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan.
“Pakatan Harapan, BN, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah, masing-masing berulang kali dengan jelas memberi komitmen menyokong kerajaan ini… kedudukan kerajaan Perpaduan setiap hari semakin kukuh, semakin kuat dan stabil ” katanya semasa berucap merasmikan konvensyen DAP Wilayah Persekutuan pada Disember 2023.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Melaka ketika berucap pada program sayap parti itu sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026.
Beliau juga dilaporkan berkata akan melawan DAP ‘habis-habisan’.
Ucapan Akmal itu dilihat sebagai satu perkara yang pelik memandangkan DAP bukanlah musuh UMNO atau BN.
![]()
Jadi, mungkin beliau boleh semak semula siapa lawan sebenar UMNO dan BN memandangkan DAP tidak pernah menyatakan secara terbuka bahawa UMNO masih menjadi musuh mereka selepas bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Disebabkan itu, memandangkan ke hadapan dalam menuju pilihan raya umum ke-16, menjadi keperluan untuk semua parti komponen dan pemimpin mereka memantapkan persefahaman.
Bukan apa, kita bimbang jika mereka saling berbalas ‘tembakan’ sedangkan ‘musuh’ hanya perlu menjadi pemerhati dan menunggu peluang untuk meraih kemenangan mudah.



