
MIRI – Warga emas berusia 73 tahun telah ditemukan meninggal dunia selepas lima hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Mangsa, Sagai anak Kunchau, dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumah sejak Khamis minggu lalu di lokasi terakhirnya di kebun berhampiran Petronas By Pass, Miri.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pasukan SAR telah menggunakan strategi dengan bantuan Unit anjing pengesan K9 bagi meneruskan pencarian di lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Katanya, operasi SAR dibahagikan kepada dua kumpulan dengan radius pencarian sejauh 1 kilometer dari lokasi terakhir mangsa dengan bantuan lebih 40 orang terlibat termasuklah PDRM, Pasukan Gerakan Am, Angkatan Pertahanan Awam, dan orang awam.
“Mangsa telah dijumpai oleh pasukan SAR dalam radius 1 kilometer dari pos kawalan. Pasukan SAR seterusnya membawa mangsa keluar dari kawasan hutan dan menuju ke pos kawalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.



