CYBERJAYA – Terdapat keperluan undang-undang berkaitan pasaran digital diperkasa selain kerangka lebih menyeluruh termasuk akta khusus diwujudkan bagi menangani cabaran sektor berkenaan yang semakin kompleks.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting bagi memastikan integriti dan akauntabiliti ekosistem digital terus terpelihara.
Menurut beliau, ini memandangkan platform dalam talian kini bukan sekadar medium jual beli, malah mempengaruhi corak perbelanjaan dan pilihan pengguna.
“Seperti transaksi fizikal, urus niaga dalam talian juga mesti diurus dan dikawal dengan standard yang sama. Maklumat produk perlu jelas, harga perlu telus dan proses pemulangan wang mesti mudah serta adil.
“Kita tidak boleh membenarkan pasaran digital bergerak lebih pantas daripada peraturan yang mengawalnya. Maka, saya ingin mencadangkan supaya kita memperkukuh undang-undang sedia ada.
“Pada masa sama, mempertimbangkan satu kerangka yang lebih menyeluruh, termasuk ke arah akta khusus bagi pasaran digital,” katanya pada Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN Ke-54 dan Pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0, pada Selasa.
Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; timbalannya, Datuk Fuziah Salleh; KSU KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar dan Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan, keperluan memperkukuhkan undang-undang sedia ada dan mempertimbangkan pembentukan akta khusus bagi pasaran digital sebagai langkah ke hadapan.
Katanya, usaha berkenaan mampu membina ekosistem kepenggunaan yang lebih diyakini rakyat dengan penekanan bahawa keberkesanan dasar bukan diukur pada perancangan semata-mata, tetapi pada impak sebenar yang dirasai pengguna.
“Selain itu, usaha memperkukuh literasi pengguna dan literasi digital perlu dilaksanakan. Dalam dunia yang semakin mencabar ini, pengguna tidak boleh lagi bergantung kepada nasib semata-mata, kita mesti memastikan pengguna hari ini faham hak mereka, peka terhadap risiko dan tahu bagaimana untuk melindungi diri.
“Usaha ini mesti sampai kepada semua, KPDN sahaja tidak mampu menyantuni jutaan pengguna di seluruh negara.
“Maka, kita perlu bekerja bersama kementerian lain dan rakan strategik supaya setiap lapisan masyarakat, khususnya di luar bandar, golongan muda dan kumpulan rentan tidak mudah terdedah kepada manipulasi dan penipuan,” katanya.






