PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap segala spekulasi berkaitan institusi Undang di Negeri Sembilan dapat diselesaikan secara muafakat melalui saluran sah serta kebijaksanaan pihak berkaitan.
Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan susulan perkembangan melibatkan institusi raja dan pentadbiran kerajaan negeri yang perlu ditangani secara tertib serta berlandaskan undang-undang.
Menurutnya, perkara berkenaan dibincangkan ketika menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir malam tadi.
“Persoalan yang melibatkan institusi Undang sedang ditangani melalui saluran serta proses yang sah serta kebijaksanaan Undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pertemuan itu, beliau turut menjunjung kasih atas kebijaksanaan baginda dalam menangani perkara berkenaan secara berhemah.
Pada masa sama, Anwar menyatakan sokongan terhadap titah baginda agar Datuk Seri Aminuddin Harun terus menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri serta memelihara kepentingan rakyat.
“Saya yakin berdasarkan pengalaman dan khidmat cemerlang, beliau akan terus menjalankan tugas dengan sempurna,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan kerjasama penuh bagi memastikan kelangsungan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa keluhuran institusi raja dan undang-undang negeri mesti terus dipelihara serta dipertahankan dalam apa jua keadaan.
“Saya juga menyeru rakyat khususnya di Negeri Sembilan terus berhemah, beradab dan menjaga ketertiban terutama dalam membicarakan ehwal institusi raja dan undang-undang negeri.
“Kemenakan beraja ke mamak, mamak beraja ke muafakat, muafakat beraja kepada kebenaran, dan kebenaran itu berdiri sendiri,” katanya.





