PUTRAJAYA – Keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan cadangan pelaksanaan cukai barang bernilai tinggi (HVGT), yang sebelum ini dikenali sebagai cukai barang mewah disifatkan sebagai langkah berhemah dalam mengawal pengaliran keluar perbelanjaan di luar negara.
Penganalisis ekonomi, Nazri Hamdan berkata, tindakan itu dilihat sebagai langkah berhati-hati kerajaan dalam memastikan pertumbuhan sektor berimpak tinggi tidak terganggu, khsusnya dalam industri barangan mewah.
Katanya, sekiranya HVGT dilaksana, bukan sahaja menyebabkan kira-kira 30 hingga 40 peratus perbelanjaan mewah ‘lari’ ke luar negara, namun turut menjejaskan hasil cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta impak limpahan aktiviti ekonomi tempatan.
“Kalau ambil kira margin industri premium, cukai 5 hingga 10 peratus, boleh cetuskan dua kesan iaitu pengguna beralih ke luar negara untuk membeli (leakage), dan kedua, peniaga lokal mungkin turunkan stok atau markup harga lebih tinggi; dua-dua boleh jejaskan ekonomi domestik.
“Sekirnya pengguna berpendapatan tinggi mula beli barang mewah di luar negara seperti Singapura atau secara online duty-free, kerajaan boleh hilang bukan saja hasil cukai tersebut, tapi juga cukai SST biasa, cukai perkhidmatan.
“Pada masa sama, aktiviti rantaian tempatan yang mungkin mencecah lebih RM1 bilion jika dikira bersama impak limpahan ekonomi,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berpandangan, tindakan mengekalkan SST dengan pendekatan peluasan senyap kepada lebih banyak kategori adalah lebih efisien dinsamping mengelakkan polemik cukai khas untuk ‘orang kaya’ bagi menjamin keberkesanan untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, sektor seperti barang kemas, jam tangan mewah dan barangan kulit premium sangat sensitif terhadap perubahan dasar fiskal, dan bergantung kepada pasaran pelancong serta pembeli berprofil tinggi.
“Lobi industri seperti sektor barang kemas beri amaran awal bahawa cukai ini boleh rosakkan ekosistem perniagaan mewah tempatan, terutama yang bergantung pada pelancong dan pelanggan high-net-worth.
“Bagaimanapun, kalau kerajaan nekad laksana HVGT sepenuhnya. Sebagai contoh, 5 peratus ke atas semua jam tangan mewah, barangan kulit premium, dan kereta import di atas nilai tertentu dan tak berlaku lari cukai, simulasi kasar menunjukkan kutipan boleh mencecah RM1 bilion hingga 1.2 bilion setahun.
“Ia bergantung kepada pematuhan dan tahap perbelanjaan. Akan tetapi risiko besar ialah jika 30 hingga 40 peratus perbelanjaan mewah ‘lari’ keluar negara, maka hasil sebenar boleh jatuh ke bawah RM500 juta, iaitu lebih rendah daripada peluasan SST iaitu RM5 bilion,” katanya.
Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan pelaksanaan HVGT seperti yang diumumkan sebelum ini, menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu jawapan bertulis yang dimuat naik ke laman sesawang Parlimen, pada Rabu.
MOF berkata, prinsip cukai tersebut masih diterapkan dalam semakan semula struktur cukai jualan, yang mengenakan kadar lima peratus atau 10 peratus terhadap barangan mewah dan bersifat pilihan.
Kementerian itu memaklumkan bahawa kerajaan telah mengambil beberapa langkah di bawah sistem cukai langsung dan tidak langsung bagi memperkukuh kutipan hasil negara.








