
KUCHING – Sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diaktifkan di Sarawak setakat Jumaat, susulan hujan berterusan yang mengakibatkan beberapa kawasan dilanda banjir.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, lapan daripada PPS tersebut baru dibuka pagi ini melibatkan kawasan Kuching (Bau), Samarahan dan Serian (Siburan), manakala satu PPS di Bekenu telah beroperasi sejak 4 Januari lalu.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, jentera pengurusan bencana di peringkat negeri dan bahagian telah digerakkan serta-merta sebaik menerima laporan.
“Operasi pemindahan mangsa berjalan lancar dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Setakat ini, tiada sebarang aduan diterima dan kita berterima kasih kepada penduduk yang memberikan kerjasama untuk berpindah awal,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pusat Kawalan Bencana Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia pada Jumaat.
Mengulas mengenai jumlah mangsa, Uggah memaklumkan di daerah Bau, PPS Dewan Serbaguna Kampung Bijuray Mongag menempatkan 94 mangsa daripada 20 ketua isi rumah (KIR), manakala data bagi PPS Dewan Serbaguna Kampung Blimbin sedang dikemaskini.
Di Samarahan, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Endap dibuka bagi menempatkan tiga keluarga membabitkan sembilan mangsa.
“Bagi bahagian Serian, PPS Balai Raya Kampung Betong menempatkan 26 mangsa, SK Tanah Merah Kampung Turong (95 mangsa) dan SK St. Peter Simpok (15 mangsa).
“Jumlah mangsa bagi dua lagi PPS iaitu di Dewan Taman Duranda Emas dan Dewan Serbaguna Kampung Lintang Baru masih dalam proses pengemaskinian,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak polis telah diarahkan untuk memantau keselamatan rumah dan harta benda yang ditinggalkan penduduk bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Tambahnya, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak turut diarah menjalankan saringan kesihatan terhadap mangsa di PPS serta melakukan kerja penyemburan bagi mencegah penularan penyakit berjangkit.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)





