
BARU-BARU ini saya menulis isu ketidaktepatan persepsi golongan muda, khususnya lepasan tingkatan enam (lepasan prauniversiti) di Terengganu terhadap dasar-dasar kerajaan dan wujud penyimpangan fakta mengenai Perdana Menteri ke-10 (PMX).
Isu itu yang juga menjerut pelajar menengah atas dikesali kerana mereka sepatutnya diberi pendedahan yang jelas oleh pihak sekolah (dan kolej tingkatan enam). Barah itu seolah-olah menggambarkan ada sesuatu hal yang tidak kena di institusi tersebut.
Kecenderungan salah tanggap ke atas dasar-dasar kerajaan serta penyimpangan fakta ke atas PMX sebenarnya bukanlah berlaku secara semula jadi, sebaliknya terancang, malahan dilaksanakan secara bertubi-tubi dan berterusan oleh pihak tertentu.
Apakah buktinya? Ada dan banyak. Yang penting, perhatikan sesuatu pergolakan itu dengan fikiran terbuka, lalu akan dapat kita analisis dan mencari kesimpulannya.
Satu daripada contohnya, mungkin dapat kita pungut perkara ini di masjid, surau, dan musala tertentu (bukan semua). Hakikat sebegini tidak tertakluk kepada sebuah negeri, malahan di seluruh negara.
Pada peringkat permukaan, mungkin kelihatan hal itu berlaku secara semula jadi dan santai. Di permaidani rumah dan ruang ibadat itu, mungkin sambil beramal sunat, ada sesetengah ‘orang agama’ menyebarkan fitnah.
Seorang penceramah agama terkenal tanah air – Ustaz Shamsuri Ahmad – melalui video pendek di YouTube menjelaskan perkara ini sejak sekian lama.
Dalam rakaman bertarikh 5 Februari 2019, beliau menegaskan bahawa terdapat orang agama gemar menyebarkan dakyah, fitnah, yang semuanya berasal daripada khabar yang belum pasti kesahihannya.
Bermula dengan isu-isu kecil, kecenderungan ini semakin lama semakin membesar dan menjangkiti permasalahan politik tanah air. Berita yang tidak sahih dan bersifat sensasi dengan pantas disebarkan oleh sesetengah pihak.
Dengan perbuatan itu yang akhirnya boleh diistilahkan sebagai ‘Lebai Forward’ pihak yang berkenaan yang sebahagiannya mempunyai fahaman politik yang tidak sejalan dengan Kerajaan Perpaduan dan anti-PMX mula melaksanakan kerja mereka.
Tulisan ringkas ini ditangguhkan dengan satu harapan – ‘Kementerian Agama’ wajar melihat perkara ini dengan lebih tegas agar api kebencian tidak terus terpercik!