PUTRAJAYA – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Sungai Besi yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera penuntut senior.
ATM dalam kenyataan malam tadi, mengesahkan kejadian itu membabitkan pelajar kadet dibuli oleh seniornya menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur, seperti yang tular menerusi media sosial.
Menurut kenyataan itu, kes terbabit sedang disiasat di peringkat ALK-UPNM.
“ATM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi serta berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dengan kes berkenaan.
“Tindakan disiplin yang keras mahupun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terbabit jika terbukti bersalah,” menurut ATM.
Selain itu, masyarakat juga diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan tersebut.
“Segala perkembangan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu lagi.
Difahamkan perbuatan itu terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih yang bertugas selepas menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.
Sebelum ini, negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.
Susulan kes yang berlaku pada 2017 itu, enam bekas penuntut UPNM dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lalu selepas didapati bersalah melakukan jenayah berkenaan.





