
CEBU – ASEAN perlu menyegerakan pelaksanaan Perjanjian Rangka Kerja Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA) sebagai langkah memperkukuh daya tahan tenaga serantau susulan ketidaktentuan geopolitik global yang semakin meruncing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konflik di Asia Barat serta gangguan di Selat Hormuz memberi kesan langsung terhadap kestabilan ekonomi, rantaian bekalan dan kos sara hidup rakyat di rantau ini, khususnya golongan miskin dan rentan.
“Malaysia menyokong penuh usaha mempercepat pelaksanaan APSA. Ia menyediakan lapisan perlindungan penting ketika pengeluaran minyak dan gas domestik di rantau ini semakin menurun,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Filipina.
Menurut beliau, keadaan itu turut meningkatkan risiko ketidaktentuan bekalan tenaga, keselamatan makanan dan kenaikan kos sara hidup dalam kalangan negara anggota ASEAN.
“Ini bukan kejutan yang jauh atau gangguan sementara, ia beri kesan secara langsung kepada kestabilan ekonomi, keharmonian sosial dan kehidupan harian rakyat kita, dengan golongan miskin dan paling terdedah menerima kesan paling besar,” ujarnya.
Anwar berkata, ASEAN perlu bertindak secara kolektif dan memperkukuh penyelarasan serantau kerana tiada negara mampu menangani gangguan global secara bersendirian.
Beliau menegaskan, APSA perlu dipercepatkan sebagai langkah perlindungan penting susulan pengeluaran minyak dan gas domestik di rantau ini yang semakin berkurangan.
APSA ialah rangka kerja kerjasama serantau ASEAN yang diwujudkan bagi memastikan kestabilan bekalan petroleum ketika berlaku krisis atau gangguan bekalan tenaga.
Dalam pada itu, beliau berkata, ASEAN perlu mempelbagaikan sumber bahan api fosil dan mengurangkan kebergantungan terhadap rantaian bekalan yang terdedah kepada risiko geopolitik.
Anwar turut mencadangkan ASEAN memanfaatkan kerjasama dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), termasuk rangkaian kerjasama ASEAN-GCC-China, bagi membina sistem tenaga yang lebih berdaya tahan.
Beliau berkata, Grid Tenaga ASEAN (APG) juga kekal penting dalam agenda peralihan tenaga serantau dan memerlukan pelaburan lebih besar bagi mempercepat hubungan tenaga rentas sempadan serta pembangunan rendah karbon.
Sidang kemuncak itu berlangsung ketika rantau Asia Tenggara berdepan pelbagai cabaran termasuk konflik di Asia Barat, ketidaktentuan ekonomi global serta ancaman terhadap keselamatan tenaga dan makanan.





