SEBERANG PERAI – Kerajaan mengambil maklum keluhan pesawah berhubung peningkatan kos penanaman padi yang didakwa mencecah sehingga RM7,000 bagi setiap hektar susulan krisis tenaga dan ketiadaan subsidi diesel untuk sektor berkenaan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, semua pandangan serta tuntutan yang dibangkitkan oleh golongan pesawah kini sedang diteliti dan dibincangkan di peringkat kementerian.
“Ya, kita lihat semua aduan sana. Kita ambil semua pandangan itu dan dibincang di peringkat kementerian.
“Kita sentiasa sensitif. Apa tuntutan mereka itu, kita kena tengok juga kepadanan perbelanjaan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di Dewan MPKK Kampung Guar Petai di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan sebelum ini turut meluluskan bantuan sebanyak RM200 bagi membantu pesawah memulakan kerja membajak sawah.
“Misalnya kita lihat sekarang ini, peringkat nak membajak, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri luluskan RM200 untuk (pesawah) mula membajak. Itu yang kita lihat dari kepentingan dari semasa ke semasa,” katanya.
Mohamad bagaimanapun berkata, kerajaan perlu meneliti semua aspek termasuk kemampuan kewangan sebelum sebarang keputusan berkaitan subsidi dibuat.
“Memanglah subsidi ini pun duit rakyat. Jadi kita kena lihat keseimbangan di semua segi,” katanya.
Semalam, media melaporkan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) mendakwa penanaman padi di seluruh negara kini dikatakan melambung sehingga mencecah antara RM6,000 ke RM7,000 per hektar berikutan krisis tenaga dan ketiadaan subsidi diesel untuk sektor berkenaan.





