
HASRAT parti Bersatu untuk menjalinkan kerjasama dengan UMNO disifatkan sebagai strategi terbaharu pembangkang untuk memecahbelahkan kestabilan politik yang dikecapi parti-parti komponen dalam Kerajaan MADANI.
Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, Bersatu kian terdesak tatkala melihat momentum Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempamer prestasi baik sekali gus menambat hati rakyat.
Malah, Bersatu semakin gerun melihat UMNO dapat bangkit semula selepas prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu yang kini memainkan peranan penting dalam Kerajaan MADANI.
“Walaupun UMNO tak sekuat dulu, kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) memberikan UMNO tempat dalam kerajaan, dan itu bermakna mereka masih relevan dalam kuasa sekali gus mengembalikan kekuatan parti sebagai parti keramat orang Melayu.
“Saya nampak Bersatu semakin gelisah dan bimbang melihat gabungan MADANI ini yang semakin stabil, menambat kepercayaan rakyat pelbagai kaum selain nama Malaysia semakin mekar di persada antarabangsa.
“Jadi ajakan kepada UMNO itu bukan sangat sebab mereka nak berdamai, tapi sebab mereka tahu jika tak pecahkan Kerajaan Perpaduan, masa depan Bersatu mungkin gelap. Ini soal survival politik, bukan idealisme, inilah strategi baharu pembangkang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dilapor berkata, parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO kerana kedua-dua parti berkongsi asas ideologi yang sama.
Menurut Hamzah, bekas pemimpin MIC dan MCA juga sudah mendaftar untuk menjadi ahli Bersatu.
Azhar menegaskan, daripada sudut strategi politik, UMNO tidak ada keperluan mendesak untuk menerima kembali Bersatu.
“Sekarang UMNO dah ada tempat dalam kerajaan, pemimpin mereka pegang jawatan penting, dan hubungan dengan PH makin kukuh.
“Bersatu pula makin terpinggir. Tanpa jawatan menteri dan kuasa persekutuan, sukar nak jaga sokongan akar umbi, salurkan dana, atau kekalkan wakil rakyat yang “loyal”.
“Lagi-lagi bila Pas pula dominan dalam Perikatan Nasional, Pas ada empat negeri tetapi mereka tidak. Bersatu berisiko jadi parti kecil dalam bayangan Pas,” katanya.
Pada masa sama, Azhar mengingatkan Bersatu bahawa luka lama orang UMNO masih merah menyala terhadap segala tindakan yang telah parti itu lakukan sebelum ini.
“Terima Bersatu semula hanya akan mengundang ketegangan dalaman, sebab ramai ahli dan akar umbi UMNO masih marah dengan pengkhianatan Bersatu yang keluar dari UMNO dulu, dan kemudian jatuhkan kerajaan BN selepas PRU14.
“Malah Bersatu memporak peranda UMNO ketika bersama dalam kerajaan PN sebelum ini, mereka cuba membunuh UMNO dalam senyap, adakah UMNO boleh lupa?
“UMNO patut fokus pada pemulihan imej dalam Kerajaan Perpaduan. Terima Bersatu semula hanya akan buka luka lama dan beri ruang kepada tokoh-tokoh yang pernah menggugat kestabilan.
“Jadi, dari sudut maruah dan prinsip, majoriti dalam UMNO mungkin anggap lebih baik tolak saja. Abaikan saja ajakan Bersatu itu,” katanya.
Ditanya adakah Bersatu wajar dibubar, Azhar berkata, parti itu mungkin tidak sanggup menelan kepahitan namun itulah yang sepatutnya dilakukan.
“Daripada sudut Bersatu pula, kalau tiada jalan lain, memang wajar mereka pertimbang untuk bubar dan bergabung semula dengan UMNO, jika tujuannya nak jaga kelangsungan politik individu tertentu.
“Tapi itu juga bermaksud mengakui kegagalan projek parti sendiri. Ramai dalam Bersatu mungkin tak sanggup telan ego tu.
“Bersatu juga perlu tanya diri, masih relevan atau tidak? Kalau hanya hidup atas retorik lawan DAP dan rebut kuasa, tanpa asas perjuangan jelas, rakyat mungkin akan tolak mereka dalam PRU akan datang,” katanya.





