Aidilfitri medium terbaik rapat hubungan, perkasa pendidikan dan kemahiran

LIMBANG – Penganjuran Majlis Ramah Tamah Aidilfitri wajar dimanfaatkan sebaik mungkin oleh masyarakat sebagai platform terbaik untuk mengeratkan semula hubungan kejiranan serta memperkukuh perpaduan dalam komuniti setempat.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, perubahan gaya hidup masa kini telah menyebabkan hubungan antara jiran semakin renggang berikutan masing-masing sibuk dengan urusan harian sehingga ada yang tidak mengenali antara satu sama lain.

Menurutnya, jiran dan komuniti memainkan peranan yang sangat penting, justeru semangat saling bantu-membantu perlu sentiasa disuburkan.

“Mereka (jiran) bukan sahaja bersama kita ketika saat gembira, malah menjadi antara individu terdekat yang akan diharap ketika kita berdepan kecemasan seperti sakit atau kebakaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Dewan RPR Batu Biah di sini.

Tegas Hasbi, kelangsungan hubungan silaturahim ini perlu terus diperkukuhkan tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa, yang mana ia turut selari dengan nilai-nilai murni universal.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, beliau turut mengingatkan masyarakat tentang kepentingan pembangunan modal insan khususnya dalam bidang pendidikan yang menjadi tonggak kemajuan negara.

Jelasnya, pendidikan adalah kunci utama untuk sesebuah keluarga itu keluar daripada kepompong kemiskinan, lantas ibu bapa wajib memastikan pendidikan anak-anak sentiasa diutamakan.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa bukan semua pelajar mampu cemerlang dalam akademik.

Oleh itu, Hasbi menyarankan agar pendidikan alternatif berteraskan kemahiran atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diberikan perhatian yang serius.

“Bidang kemahiran kini semakin mendapat tempat di pasaran dan menawarkan peluang kerjaya yang cukup luas dengan kadar pendapatan yang sangat kompetitif,” ujarnya.

Beliau menegaskan kerajaan MADANI sentiasa komited menyediakan pelbagai institusi serta kemudahan latihan kemahiran bagi memperkasa golongan belia, termasuklah menerusi pembinaan bangunan baharu GiatMARA di Limbang.

“Dengan wujudnya kemudahan ini, anak-anak muda kita di sini tidak perlu lagi berhijrah jauh semata-mata untuk mendapatkan sijil kemahiran. Inisiatif ini juga secara tidak langsung akan merangsang kitaran ekonomi tempatan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” tambahnya.

Pada masa yang sama, beliau turut menggesa golongan belia agar berani menceburi bidang teknikal selari dengan keperluan industri semasa seperti teknologi digital, automotif, pembinaan dan keusahawanan.

“Dunia hari ini bergerak begitu pantas ke arah era digitalisasi dan automasi. Oleh itu, belia kita perlu sentiasa bersiap sedia dengan kemahiran yang menepati kehendak industri agar tidak terus ketinggalan,” tegasnya.

Related Posts

CATS FM santuni golongan istimewa, erat silaturahim menerusi Ohsem Raya

KUCHING – Stesen radio tempatan, CATS FM terus menyemarakkan sambutan Syawal tahun ini menerusi penganjuran Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Ohsem Raya yang berlangsung meriah di Dewan CATS FM, Jalan Bako…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Disyaki minta, terima RM500,000: Tiga penjawat awam agensi penguat kuasa direman

TAWAU – Tiga penjawat awam agensi penguat kuasa negeri Sabah termasuk dua pegawainya direman bermula Rabu bagi siasatan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 antara 2022 hingga 2024.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Bantuan MADANI bukan sekadar subsidi, ia pemangkin inovasi dan kelestarian pertanian – Dr Norhelmi

Bantuan MADANI bukan sekadar subsidi, ia pemangkin inovasi dan kelestarian pertanian – Dr Norhelmi

Islam menuntut keadilan bukan retorik politik

Islam menuntut keadilan bukan retorik politik

CATS FM santuni golongan istimewa, erat silaturahim menerusi Ohsem Raya

CATS FM santuni golongan istimewa, erat silaturahim menerusi Ohsem Raya

Disyaki minta, terima RM500,000: Tiga penjawat awam agensi penguat kuasa direman

Disyaki minta, terima RM500,000: Tiga penjawat awam agensi penguat kuasa direman

Isu gangguan kutipan sampah dijangka selesai seminggu, MPKK gerak tindakan segera

Isu gangguan kutipan sampah dijangka selesai seminggu, MPKK gerak tindakan segera

Guru wanita maut, kereta bertembung lori

Guru wanita maut, kereta bertembung lori