
MUKAH – Daerah Mukah dipilih sebagai lokasi perintis bagi penganjuran Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Catalysts yang melibatkan penyertaan 10 sekolah rendah dan menengah di sekitar daerah ini.
Program yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mukah pada Isnin itu dilihat menjadi platform penting dalam usaha memperkasa pendidikan STEM dalam kalangan pelajar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, pemilihan Mukah sebagai lokasi pertama jelas mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam membangunkan potensi generasi muda menerusi bidang sains dan teknologi.
Menurutnya, usaha berterusan itu sangat penting bagi memastikan kelangsungan dalam melahirkan generasi yang bersedia menghadapi cabaran masa depan berteraskan inovasi serta kemajuan teknologi.
“Suatu hari nanti, Sarawak akan menjadi peneraju dalam teknologi dan inovasi. Justeru, saya amat berharap agar pelajar kita akan berada di barisan hadapan untuk memimpin perubahan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program yang menghimpunkan pelajar bagi meneroka aplikasi STEM secara lebih praktikal pada Isnin.
Mengulas lanjut, Royston memberitahu, penganjuran program berkenaan tidak hanya tertumpu kepada teori di dalam buku teks semata-mata, malah membuka peluang kepada pelajar untuk melihat sendiri aplikasi STEM dalam kehidupan seharian.
“Melalui pameran, demonstrasi dan interaksi secara langsung, para pelajar dapat memahami dengan lebih jelas peranan STEM dalam menyelesaikan masalah serta mencipta inovasi baharu,” jelasnya.
Tambah beliau, penganjuran julung kali itu menerima sambutan yang amat menggalakkan apabila rata-rata pelajar mempamerkan minat yang tinggi untuk mencuba, bersoal jawab serta mendalami bidang berkenaan.
Secara keseluruhannya, Program STEM Catalysts ini disifatkan sebagai satu langkah awal yang cukup signifikan dalam misi melahirkan lebih ramai modal insan berkemahiran tinggi, sejajar dengan aspirasi pembangunan Sarawak sebagai hab teknologi masa depan.





