
PENGANJURAN Persidangan AI Grand Prix 2025 membuktikan Kerajaan MADANI komited dalam memacu pembangunan modal insan, memperkukuh industri kreatif dan penyiaran serta menyokong transformasi digital negara.
Bertemakan ‘Memacu Kecerdasan, Kepimpinan Masa Depan’ telah berjaya menghimpunkan tokoh akademik, pakar industri, penggiat kreatif dan penggubal dasar untuk membincangkan peranan Kecerdasan Buatan (AI) dalam membentuk landskap komunikasi, media serta kepimpinan digital negara.
Program yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini telah dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di Dewan Cendekiawan, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) sebelum beliau turut sama meyertai sesi khas ‘Let’s Talk bersama Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Berhad, Tan Sri Tony Fernandes.
Kementerian Komunikasi dalam kenyataan hari ini berkata, persidangan anjurannya menerusi IPPTAR ini menghimpunkan tokoh akademik, pakar industri, penggiat kreatif dan penggubal dasar untuk membincangkan peranan Kecerdasan Buatan (AI) dalam membentuk landskap komunikasi, media serta kepimpinan digital negara.
Program Let’s Talk telah membincangkan bagaimana teknologi dan kepimpinan digital mampu mengubah ekosistem perniagaan serta memberi inspirasi kepada generasi muda.
“Seramai 14 orang penceramah berprofil tinggi dijemput untuk berkongsi kepakaran serta pengalaman dalam persidangan yang berlangsung selama dua hari ini antaranya, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman; Pengarah Urusan NETSEC, Datuk Shafik Rizaal Saaban; pengarah filem terkenal, Datuk Zulkifli M. Osman; pengasas Aikon Lab, Amrulqays Maarof; dan wakil dari Google Singapura, Adeel Farhan. Hadir sama, Pengarah IPPTAR, Roslan Ariffin.
“Persidangan ini juga menampilkan segmen AiFluencer secara dalam talian yang memberi peluang kepada tokoh-tokoh muda seperti Muhammad Haniff Musa (Vokab AI) dan Amrulqays Maarof (Aikon Lab) untuk berkongsi pengalaman dalam membangunkan teknologi AI tempatan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, pameran teknologi kreatif turut diadakan melibatkan lebih 10 organisasi termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Lekir Tech, Aikon Lab, Vokab AI, Warong AI, Red Circle Studio dan Sahabat Edubot serta Persatuan Kreatif AI Malaysia (PEKA).







