
YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, mengalu-alukan langkah kerajaan dalam melaksanakan pelbagai reformasi institusi dan undang-undang bagi memperkukuh tadbir urus negara. Baginda menekankan usaha itu termasuklah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun, pengukuhan undang-undang pilihan raya, pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta pengenalan Akta Kebebasan Maklumat dan Institusi Ombudsman.
Baginda bertitah, langkah-langkah reformasi ini penting bagi memperkukuh institusi demokrasi dan memastikan tadbir urus negara lebih telus serta berintegriti.
“Saya turut mengalu-alukan usaha bagi mengukuhkan undang-undang berkaitan pilihan raya, institusi demokrasi dan pendanaan politik.
“Ini termasuk usaha untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun, mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
“Begitu juga pengenalan Akta Kebebasan Maklumat dan Institusi Ombudsman,” titah Baginda ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15, di Dewan Rakyat, hari ini.
Baginda turut menekankan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bermula tahun ini perlu memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, terutamanya dalam bidang pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam.
Baginda menegaskan, walaupun dunia berdepan pelbagai cabaran, Malaysia masih mencatat pertumbuhan ekonomi positif sebanyak 4.7 peratus pada tahun lalu.
“Ia juga ditunjukkan dengan kadar pengangguran dan inflasi yang kekal rendah, serta kemiskinan tegar berada pada paras 0.09 peratus,” titah baginda.
Dalam perkembangan berkaitan, baginda turut mengucapkan tahniah atas kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun lalu serta penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.





