Agong lawat Arab Saudi, Bahrain mulai esok

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan berangkat mengadakan lawatan negara ke Arab Saudi dan Bahrain bermula esok, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh hubungan diplomatik yang terjalin selama 68 tahun.

Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan lawatan berkenaan mencatat sejarah sebagai lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi, sejak kali terakhir dilaksanakan oleh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah pada 1984.

Semasa berada di Riyadh, Seri Paduka Baginda dijadualkan mengadakan pertemuan empat mata dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud di Istana Yamamah.

Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi dan Bahrain akan diiringi paduka anakanda, iaitu Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj.

Turut serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Menteri Pengiring.

“Lawatan negara ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Arab Saudi untuk memperkukuh hubungan dua hala, di samping memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, geopolitik, pertahanan dan hal ehwal Islam,” menurut kenyataan itu, lapor Bernama.

Dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, sebanyak 12 kunjungan berprofil tinggi diadakan antara Malaysia dan Arab Saudi.

Negara Tanah Suci itu juga rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan bernilai RM44.74 bilion (AS$9.79 bilion).

Selain aspek ekonomi, hubungan erat kedua-dua negara turut terserlah dalam urusan ibadah haji dan umrah, dengan Seri Paduka Baginda bakal menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas layanan mesra dan penyelarasan istimewa diberikan kepada jemaah Malaysia saban tahun.

Selesai lawatan di Arab Saudi, Yang di-Pertuan Agong akan berangkat ke Bahrain pada 6 November atas persilaan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa bagi lawatan negara yang julung kali diadakan sejak hubungan diplomatik Malaysia-Bahrain terjalin pada 1974.

Menurut kenyataan itu, Sultan Ibrahim dan Raja Hamad menjalin persahabatan akrab sejak sekian lama, dengan Seri Paduka Baginda berkenan mengadakan lawatan rasmi ke Bahrain pada 2017 ketika menjadi Sultan Johor, manakala Raja Hamad berkenan berangkat ke Kuala Lumpur pada 2024 bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Malaysia dan Bahrain menjalin kerjasama dalam pelbagai sektor, dengan jumlah nilai perdagangan sebanyak RM1.19 bilion (AS$0.26 bilion) pada tahun lepas, selain penglibatan aktif kedua-dua negara di pentas antarabangsa menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam dan Majlis Kerjasama Teluk.

Sementara itu, Seri Paduka Baginda bertitah, lawatan ke Arab Saudi dan Bahrain adalah kesinambungan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dengan pelbagai negara luar demi kepentingan dan manfaat rakyat serta negara.

“Pada lawatan negara saya ke Singapura, Brunei, China dan Rusia, saya sentiasa menekankan kepentingan kerjasama dan persahabatan erat yang memberi manfaat bersama kepada rakyat dan negara kita.

“Arab Saudi dan Bahrain adalah dua negara yang amat dekat di hati saya serta mempunyai hubungan strategik yang penting.

“Saya mohon rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan kejayaan lawatan ini demi manfaat jangka panjang negara kita,” titah Seri Paduka Baginda.

Related Posts

Malaysia anjur DSA dan NATSEC 2026, himpun 1,456 syarikat global

KUALA LUMPUR – Lebih 1,456 syarikat dari 63 buah negara menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 bermula esok hingga Khamis ini. Menteri Pertahanan,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Iran tarik diri pameran DSA 2026

KUALA LUMPUR – Iran menyatakan hasrat menarik diri pada saat akhir daripada menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan National Security Asia (NATSEC Asia) 2026. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tindakan isytihar turunkan Tuanku Muhriz tidak sah, tidak diiktiraf

Tindakan isytihar turunkan Tuanku Muhriz tidak sah, tidak diiktiraf

Langkah strategik kerajaan Pahang bantu usahawan

Langkah strategik kerajaan Pahang bantu usahawan

Program JHEKS rapatkan masyarakat, agensi kerajaan

Program JHEKS rapatkan masyarakat, agensi kerajaan

Bayern juara Bundesliga, kini sasar Liga Juara-Juara UEFA

Bayern juara Bundesliga, kini sasar Liga Juara-Juara UEFA

Kerajaan Persekutuan, Sabah komited bantu mangsa kebakaran Kg Bahagia

Kerajaan Persekutuan, Sabah komited bantu mangsa kebakaran Kg Bahagia

Kerajaan Sabah gerak semua agensi bantu mangsa kebakaran Kg Bahagia

Kerajaan Sabah gerak semua agensi bantu mangsa kebakaran Kg Bahagia