
PADANG BESAR – Seorang lelaki warga emas berdepan detik cemas selepas kereta dipandunya merempuh sebuah premis perniagaan di Kampung Darat, Beseri di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Volkswagen Polo yang dipandu lelaki tempatan berusia 69 tahun.
“Berdasarkan siasatan awal, pemandu dipercayai hilang kawalan ketika cuba membuat pusingan U sebelum tersilap menekan pedal minyak.
“Tindakan itu menyebabkan kenderaan terbabit melanggar sebuah Perodua Kancil sebelum meluru masuk ke bahagian hadapan premis perniagaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat kejadian itu, premis terbabit mengalami kerosakan struktur di bahagian hadapan manakala kedua-dua kenderaan turut rosak.
Katanya, Volkswagen Polo tersebut remuk di bahagian hadapan manakala Perodua Kancil mengalami kerosakan di bahagian belakang.
“Bagaimanapun, tiada kecederaan serius dilaporkan dalam kejadian tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, kes kini disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan saman tidak melebihi RM300.
“Polis turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan memberi tumpuan penuh ketika memandu terutama semasa melakukan pusingan U atau parkir di kawasan tumpuan awam,” katanya.






