
Oleh: Siti Nur Asyikin Binti Mohd Rosli
KOTA BHARU – Projek pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu–Kuala Krai bagi Seksyen 2B (Ketereh ke Kok Lanas) mencatat perkembangan memberangsangkan apabila mencapai kemajuan fizikal sebanyak 31.9 peratus setakat 15 Februari 2026.
Perkembangan tersebut dimaklumkan dalam Program Jelajah Media anjuran Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri Kelantan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR), yang bertujuan memberi pendedahan kepada pihak media mengenai status semasa projek-projek infrastruktur utama di negeri ini.
Projek sepanjang kira-kira 6.5 kilometer itu telah bermula pada 2 Februari 2025 dan dijadualkan siap pada 1 Ogos 2026, selaras dengan perancangan asal tanpa sebarang perubahan pada tarikh siap semasa.
Menurut pihak pelaksana, skop utama projek merangkumi pelbagai komponen penting termasuk kerja tanah, kerja geoteknikal, sistem perparitan, pengurusan trafik serta pematuhan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH). Selain itu, elemen perlindungan alam sekitar dan penyelenggaraan rutin turut diberi perhatian sepanjang tempoh pelaksanaan.
Dalam sesi lawatan tersebut, pihak media turut dibawa meninjau beberapa struktur utama projek, termasuk enam jambatan yang kini berada dalam pelbagai peringkat pembinaan. Kemajuan kerja semasa melibatkan pembinaan dek jambatan serta kerja tanah di beberapa zon kritikal.
Walaupun berdepan beberapa cabaran sepanjang pelaksanaan, pihak kontraktor bersama agensi terlibat kekal komited memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Projek Lebuh Raya Kota Bharu–Kuala Krai merupakan antara inisiatif strategik dalam memperkukuh rangkaian pengangkutan di Kelantan. Ia dijangka mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat serta meningkatkan kelancaran pergerakan pengguna di kawasan berkenaan.



