
MIRI – Penganjuran Karnival Pembangunan Mampan (SDG) Edisi Kedua 2026 di Boulevard Shopping Mall di sini pada petang semalam mendapat perhatian apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang hadir menyokong inisiatif ke arah pembangunan bandar lestari.
Tumpuan utama program berkenaan adalah pelaksanaan Inisiatif Gaya Hidup Lestari menerusi Kempen Tanpa Polisterin dan Tanpa Straw Plastik bagi mengurangkan kebergantungan terhadap plastik sekali guna dalam kalangan masyarakat serta peniaga tempatan.
Adam Yii dalam ucapannya menegaskan, usaha pemeliharaan alam sekitar perlu diperkukuhkan, lebih-lebih lagi pascapandemik Covid-19 yang merekodkan lonjakan penggunaan bahan pembungkusan pakai buang sehingga menyumbang kepada lambakan sisa pepejal.
Menurutnya, arus pembangunan masa kini perlu diseimbangkan antara pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat serta penjagaan kelestarian alam sekitar.
“Langkah ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan termasuk SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) serta SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim),” katanya.
Justeru, beliau menyeru semua pihak, khususnya sektor perniagaan dan komuniti setempat agar memainkan peranan aktif dalam menterjemahkan gaya hidup lestari secara realiti.
“Amalkanlah penggunaan pembungkusan biodegradasi, biasakan membawa bekas guna semula dari rumah dan kurangkanlah penggunaan plastik sekali guna dalam urusan harian,” jelas beliau.
Karnival berkenaan dilihat menjadi medium penting untuk meningkatkan kesedaran awam, sekali gus mencetuskan perubahan tingkah laku masyarakat ke arah gaya hidup yang lebih hijau.
Menerusi kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan (PBT), sektor swasta dengan masyarakat, inisiatif ini diyakini mampu merealisasikan aspirasi untuk melestarikan Miri sebagai sebuah bandar raya yang bersih, hijau dan mampan demi kesejahteraan generasi akan datang.
Foto : Facebook YB Adam Yii



