KUALA LUMPUR – Laluan kapal milik Petronas melalui Selat Hormuz ketika ini berada dalam keadaan terkawal, dengan beberapa kapal masih dalam perjalanan dan menunggu giliran untuk melalui laluan strategik tersebut.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu telah dibentangkan oleh Petronas dan diteliti dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semalam.
Beliau berkata, maklumat yang tular di media sosial berhubung dakwaan pembayaran tol berkemungkinan berpunca daripada salah tafsir warganet terhadap tajuk berita tertentu.
“Kita mengambil maklum kita ada beberapa kapal (Petronas) yang masih dalam perjalanan dan pada ketika ini menunggu giliran untuk melepasi Selat Hormuz, kita tidak membayar apa-apa tol seperti yang didakwa.“… mungkin (berpunca) tajuk berita yang disalah erti oleh warganet, tapi kita tidak membayar apa-apa tol dan pada waktu ini keadaan masih terkawal,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata kerajaan turut mengambil perhatian terhadap penyebaran grafik tidak sah berkaitan harga bahan api yang beredar di media sosial.
Beliau berkata pengumuman rasmi harga mingguan petrol RON95, RON97 dan diesel hanya dibuat oleh Kementerian Kewangan pada setiap Rabu.
“Biasanya (maklumat hanya) akan diterbitkan selepas jam 6 petang setiap Rabu. Selain daripada pengumuman rasmi Kementerian Kewangan (MOF) sebarang grafik atau maklumat lain yang disebarkan adalah tidak benar atau palsu,” katanya.





