KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menunggu sehingga semua proses siasatan selesai sepenuhnya sebelum mengumumkan kepada umum hasil siasatan berkaitan isu pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki serta dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ dalam agensi berkenaan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan ketika ini perlu mendapatkan maklum balas daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar selain memastikan setiap prosedur yang ditetapkan dipatuhi terlebih dahulu.
“Kita perlu pastikan siasatan berkenaan selesai sepenuhnya sebelum apa-apa tindakan lanjut berkait pemakluman hasil siasatan terhadap pegangan saham Tan Sri KP SPRM boleh didedahkan.
“Tetapi ia terserah kepada Jemaah Menteri… sekiranya bila-bila masa, kita merasakan sudah cukup proses siasatan itu, maka itu terserah kepada Jemaah Menteri (untuk dedahkan),” katanya pada sidang media mingguan, di sini, hari ini.
Semalam, Shamsul Azri dalam satu kenyataan menafikan laporan sebuah media antarabangsa yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan berhubung pemilikan saham Azam Baki.
Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan lanjut terhadap agensi media berkenaan susulan dakwaan tersebut.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Shamsul Azri sebelum ini telah memaklumkan bahawa beberapa proses perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman rasmi dapat dibuat.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan menyerahkan kepada KSN untuk memastikan semua prosedur berkaitan dipatuhi sebelum sebarang keputusan diumumkan kepada umum.





