
SANDAKAN – Sebanyak 120 kilogram (kg) sampah berjaya dikumpulkan dalam tempoh hanya tiga jam menerusi Program Gotong-Royong Jiwa Murni ‘Turtle Islands Heritage Protected Area’ (TIHPA) yang diadakan di Sub-Stesen Pulau Bakkungaan Kecil, Taman Pulau-Pulau Penyu (TPPP), pada Selasa.
Pengurus Taman, Sukur Sukardi berkata, program tersebut membuktikan semangat gotong-royong yang murni.
“Usaha bersama ini bukan sekadar membersihkan pulau, tetapi juga menjaga kelestarian habitat penyu yang menjadi khazanah alam kita.
“Semoga kerjasama ini terus diperkukuhkan demi generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Sementara itu, penyelia program, Claudius Jalani menyifatkan inisiatif seumpama itu mampu memupuk kesedaran dalam kalangan anggota keselamatan terhadap kepentingan biodiversiti, khususnya di kawasan kepulauan marin Sabah.
Program anjuran bersama Taman-Taman Sabah (TTS) dan Angkatan Tentera Malaysia (6 RAMD) itu memberi fokus kepada pembersihan kawasan pulau serta kutipan sampah hanyut di sepanjang pantai.





