KUALA LUMPUR – Undang-undang bagi keselamatan jalan raya perlu dipinda untuk memastikan keluarga mangsa kemalangan akibat pemandu mabuk menerima pampasan lebih setimpal.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, beliau menyokong jika undang-undang itu dipinda, selain menegaskan terdapat keperluan penguatkuasaan lebih ketat di kawasan berisiko tinggi.
Katanya, meskipun pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) dilaksanakan sebelum ini, kes pemandu mabuk yang mengakibatkan kematian dan kecederaan masih berlaku sehingga kini.
“Berdasarkan data terkini selepas pindaan akta berkenaan, sebanyak 2,306 kes direkodkan pada 2022, diikuti 1,989 kes pada 2023 dan 1,589 kes pada 2024. Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 pula, sebanyak 508 kes dilaporkan.
“Justeru saya bersetuju cadangan untuk pindaan, seperti memberi pampasan yang setimpal kepada keluarga mangsa dan juga perlu ada penguatkuasaan ketat di sekitar kawasan titik panas (hotspot).
“Perkara ini juga rentas kementerian, perlu ada penyelarasan penuh diantara kementerian bagi menangani perkara ini daripada terus berulang,” katanya, lapor Berita Harian.
Dalam pada itu, Young Syefura bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan di Klang, pagi semalam.
Media semalam melaporkan, seorang penunggang motosikal maut dirempuh kereta dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu membabitkan sebuah motosikal dan dua kereta.
Katanya, hasil ujian saringan mendapati pemandu kereta berkenaan positif alkohol dan dadah.





