
KOTA KINABALU – Lebih 5,000 rakyat membanjiri Padang Merdeka seawal pagi bagi menyaksikan Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Aman, yang berlangsung penuh adat dan tradisi, pada Isnin.
Yang di-Pertua Negeri hadir bersama Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin pada jam 8 pagi.

Sambutan berkenaan turut diserikan dengan penyertaan sebanyak 61 kontinjen dalam acara perbarisan yang melibatkan pelbagai kategori termasuk jabatan kerajaan tanpa pakaian seragam rasmi, agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.
Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku, diiringi tembakan meriam sebanyak 17 das sebagai tanda penghormatan, sebelum Yang di-Pertua Negeri menerima tabik hormat diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama.
Tun Musa Aman kemudian berkenan memeriksa barisan kontinjen yang mengambil bahagian.
Sambutan turut diserikan dengan persembahan koir serta persembahan khas oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, manakala anggota Kabinet Negeri dan Persekutuan, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen serta ketua jabatan turut hadir memeriahkan istiadat.





