KUALA LUMPUR – Semua pasukan keselamatan negara, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan untuk sentiasa bersiap sedia bagi mendepani sebarang ancaman, terutama yang wujud akibat tempias konflik Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesan konflik terbabit ketika ini dilihat sudah pun melebar hampir ke semua negara di seluruh dunia, termasuk membabitkan aspek keselamatan.
Beliau juga mengingatkan Malaysia tidak terkecuali daripada risiko dan kesan konflik terbabit, terutama ketika negara dikategorikan antara yang paling aman dan mempunyai pelbagai potensi, berdasarkan penjelasan diberikan rakan di peringkat antarabangsa, termasuk badan risikan.
“Dalam keadaan kekacauan ini jangan anggap kita terasing. Sungguhpun Malaysia antara negara dianggap membangun, berkembang, mempunyai potensi dan paling aman.
“Keadaan ini menyenangkan rakyat kita, tetapi menimbulkan keresahan dalam kalangan musuh. Jadi kita harus waspada, jangan pandang ringan dan enteng soal isu keselamatan negara.
“Dalam kemelut begini, ‘signs of desperation’ (keadaan terdesak) timbul di mana-mana peringkat dan kita harus lebih waspada serta bersiap siaga,” katanya ketika berucap pada perasmian Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Sementara itu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengarahkan semua agensi penguatkuasaan termasuk PDRM merangka strategi keselamatan baharu bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.
Anwar menegaskan, arahan itu berdasarkan aspek ketidaktentuan geopolitik dunia ketika ini, terutama membabitkan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.
“Kerajaan sudah mengadakan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara semalam, diikuti Majlis Tindakan Ekonomi Negara hari ini, bagi memantau impak keselamatan serta ekonomi akibat ketegangan itu.
“Mungkin dalam majlis begini (atau di khalayak) umum tak dapat saya serahkan (butiran) secara terperinci, tetapi percayalah jangan tersilap (langkah).
“Kesalahan paling besar sesebuah negara adalah apabila merasa terlalu selesa atau memiliki ‘culture of contentment’ (budaya mudah berpuas hati), menyebabkan mereka cuai dalam faktor menjamin keamanan (walaupun memiliki) pasukan keselamatan ‘luar biasa’,” katanya.







