
ARAU – Umat Islam di negeri ini diseru menunaikan Solat Sunat Istisqa’ bagi memohon hujan susulan keadaan cuaca panas dan kemarau yang melanda Perlis ketika ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, pelaksanaan solat itu sebagai tanda keinsafan terhadap ujian yang dihadapi rakyat serta keadaan tanah yang semakin gersang.
“Solat al-Istisqa’ akan dilaksanakan di tanah lapang (musolla) di Dataran Istiadat, Istana Arau pada 26 Mac 2026 (Khamis) bersamaan 6 Syawal 1447H pada pukul 8 pagi,” titah baginda.
“Jemaah dinasihatkan menggunakan payung dari kenderaan ke musolla, membawa sejadah masing-masing, mengambil wuduk dari rumah serta memakai pelitup muka bagi yang mempunyai keuzuran kesihatan,” titah baginda lagi.
Menurut baginda, bagi masjid-masjid di seluruh Perlis, doa al-Istisqa’ akan dilaksanakan ketika khutbah Jumaat bermula 27 Mac 2026 sehingga tempoh yang akan dimaklumkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
“Beta menyeru agar seluruh lapisan masyarakat keluar berhimpun dengan penuh keinsafan serta bermuhasabah atas ujian yang sedang dihadapi ini.
“Marilah kita mempertingkatkan ketakwaan, meninggalkan maksiat, saling memaafkan serta memperbanyakkan amalan seperti berpuasa dan bersedekah,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan harapan agar segala doa dan rintihan yang dipanjatkan diperkenankan Allah dengan dikurniakan hujan rahmat yang membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat.






