Gangguan Selat Hormuz punca harga minyak Malaysia terkesan – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menjawab persoalan mengapa harga minyak di Malaysia turut terkesan walaupun negara ini merupakan pengeluar minyak.

Beliau berkata, keadaan itu bukan hanya bergantung kepada faktor dalam negara, sebaliknya dipengaruhi perubahan dalam pasaran minyak global.

“Sejak kenaikan harga minyak dunia susulan konflik di Asia Barat, yang dicetuskan oleh serangan rejim Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran, ramai yang bertanya mengapa harga minyak di Malaysia turut terkesan sedangkan kita negara pengeluar minyak.

“Sebenarnya, Selat Hormuz, laluan utama minyak dunia terjejas akibat konflik ini. Apabila laluan ini terganggu, bekalan minyak dunia menjadi terhad dan harga melonjak,” katanya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri berkata, Malaysia turut menerima kesan daripada situasi itu kerana hampir 50 peratus bekalan minyak negara melalui Selat Hormuz.

“Walaupun Malaysia pengeluar minyak, kita sebenarnya mengimport lebih banyak minyak daripada yang dieksport.

“Untuk melindungi rakyat, subsidi kerajaan meningkat daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu,” katanya.

Beliau menambah, rakyat serta majoriti peniaga tidak perlu membayar harga sebenar pasaran kerana subsidi disalurkan melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI Diesel.

“Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, usaha melindungi kebajikan dan kesejahteraan rakyat tetap menjadi keutamaan Kerajaan MADANI,” katanya.

Konflik di rantau Asia Barat dilaporkan mencetuskan senario paling buruk bagi sistem tenaga global apabila gangguan besar terhadap bekalan memaksa pengguna di seluruh dunia menanggung kos lebih tinggi selain mengurangkan penggunaan tenaga.

Media sebelum ini melaporkan penutupan Selat Hormuz, laluan sempit di pesisir Iran, menghentikan kira-kira 20 peratus aliran minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada 28 Februari lalu.

Pada masa sama, serangan berterusan antara Iran dan Israel turut menyasarkan infrastruktur tenaga di Asia Barat, termasuk medan gas, loji penapisan minyak dan terminal yang menurut wakil industri memerlukan tempoh bertahun-tahun untuk dipulihkan.

Situasi itu disifatkan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa sebagai gangguan tenaga global terburuk dalam sejarah, mengatasi krisis semasa Sekatan minyak Arab 1973 yang pernah mencetuskan kekurangan bahan api serta kemerosotan ekonomi secara meluas.

Setakat ini, krisis berkenaan dilaporkan mengeluarkan kira-kira 400 juta tong minyak daripada pasaran global, bersamaan kira-kira empat hari bekalan dunia, sekali gus mendorong kenaikan harga sekitar 50 peratus.

Harga penanda aras minyak global meningkat lebih 50 peratus kepada melebihi AS$110 setong sejak konflik bermula, manakala minyak mentah dari Asia Barat mencecah hampir AS$164 setong.

Kenaikan itu menyebabkan harga bahan api pengangkutan meningkat, sekali gus memberi tekanan kepada pengguna dan perniagaan di seluruh dunia serta mendorong beberapa kerajaan mengambil langkah penjimatan tenaga.

Thailand, misalnya, mengarahkan penjawat awam menjimatkan tenaga dengan menggantung perjalanan ke luar negara serta menggalakkan penggunaan tangga berbanding lif, manakala Bangladesh menutup universiti.

Sri Lanka pula melaksanakan catuan bahan api, China melarang eksport bahan api bertapis, manakala pelan kecemasan tenaga di United Kingdom merangkumi pengurangan had laju bagi menjimatkan penggunaan bahan api.

Harga gas asli di Eropah dan Asia turut meningkat selepas serangan balas antara Israel dan Iran menjejaskan kemudahan gas di Teluk.

Israel dilaporkan menyerang medan gas South Pars Gas Field milik Iran, manakala Iran pula menyasarkan kompleks LNG Ras Laffan Industrial City di Qatar.

Related Posts

Fahmi seru semua pihak hayati titah Agong, junjung semangat Rukun Negara

KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk ahli politik perlu menghayati dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mengingatkan rakyat mengenai kepentingan mengamalkan semangat serta nilai Rukun Negara dalam…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Platform media sosial wajib patuhi undang-undang Malaysia – Fahmi

KUALA LUMPUR – Semua platform media sosial yang beroperasi di Malaysia diwajibkan menghormati dan mematuhi undang-undang negara, khususnya yang melibatkan aspek keselamatan serta perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran digital. Menteri Komunikasi,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PRN Johor: Medan ujian politik baharu Malaysia

PRN Johor: Medan ujian politik baharu Malaysia

Tampar cucu Nik Aziz, Azhar nafi dakwaan fitnah

Tampar cucu Nik Aziz, Azhar nafi dakwaan fitnah

Kundasang berpotensi sebagai hab benih bawang merah negara

Kundasang berpotensi sebagai hab benih bawang merah negara

UMS perluas potensi sagu sebagai makanan masa depan menerusi pendekatan psikologi dan STEM

UMS perluas potensi sagu sebagai makanan masa depan menerusi pendekatan psikologi dan STEM

Bengkel lilin aromaterapi sempena KAWAN Jerantut dapat sambutan

Bengkel lilin aromaterapi sempena KAWAN Jerantut dapat sambutan

Lelaki OKU mental hilang sejak Sabtu, operasi SAR dilaksana

Lelaki OKU mental hilang sejak Sabtu, operasi SAR dilaksana