KUALA LUMPUR – Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam di rantau Asia Tenggara.
Menerusi satu hantaran di platform X, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat di rantau ini atas solidariti yang dizahirkan terhadap Iran.
“Terima kasih kepada pemerintah dan masyarakat Muslim serta pencinta keadilan di Asia Tenggara (Indonesia, Malaysia, Brunei) yang mengecam pencerobohan ganas Amerika Syarikat (AS) dan rejim Zionis terhadap bangsa Muslim Iran pada Ramadan serta menunjukkan solidariti,” katanya.
Ketegangan ketenteraan di rantau Asia Barat semakin meningkat susulan serangan berterusan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran sejak 28 Februari lalu.
Serangan itu dilaporkan mengorbankan orang awam serta beberapa pegawai kanan Iran, termasuk pemimpin agung negara itu, Allahyarham Ali Khamenei dan ketua keselamatan negara, Ali Larijani.
Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan serangan balas yang menyasarkan Israel serta beberapa aset dan pangkalan Amerika Syarikat di negara-negara Teluk.






