
MUKAH – Tiga lelaki warga tempatan ditahan dalam dua serbuan berasingan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di Selangau, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah menerusi Ops Bersepadu Cegah Jenayah yang dijalankan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, dalam serbuan pertama kira-kira jam 7 pagi di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Mukah-Selangau, polis menahan dua lelaki tempatan berumur 43 dan 45 tahun.
“Bagaimanapun, pemeriksaan di lokasi tidak menemui sebarang barang salah. Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut dan hasil ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau berkata, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai pemandu lori itu disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Seorang daripada mereka telah dituduh di Mahkamah Majistret Mukah pada 19 Mac di bawah Seksyen 12(2) akta sama kerana memiliki dadah, manakala seorang lagi dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu tarikh pendakwaan,” katanya.
Dalam serbuan kedua kira-kira jam 10 pagi di kawasan kebun kelapa sawit Sungai Sepiring, polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 19 tahun.
Menurut Muhamad Rizal, suspek cuba melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran sebelum berjaya ditahan oleh pihak polis.
“Hasil pemeriksaan menemukan dua peket plastik lut sinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu yang disimpan dalam beg sandang milik suspek.
“Anggaran berat kasar dadah yang dirampas adalah kira-kira 1.36 gram,” katanya.
Tambah beliau, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah dan hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Mukah pada 19 Mac kerana memiliki dadah dan kes akan disebut semula pada 8 Jun depan,” ujarnya.







