Riadah bertukar liar, larian malam cetus kontroversi

Oleh: Winsamir & Ezmie

KOTA KINABALU – Ketika Ramadan hampir melabuhkan tirainya, satu fenomena yang semakin mendapat perhatian masyarakat di Pantai Timur Sabah ialah aktiviti lumba lari malam yang tular di media sosial.

Pada asalnya, aktiviti tersebut dilihat sebagai riadah sihat yang mampu menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda.

Namun kebelakangan ini, muncul beberapa video memaparkan perlumbaan lari malam yang disertai ramai mencetuskan pelbagai persoalan. Ada yang melihatnya sebagai aktiviti sukan komuniti yang menghidupkan suasana malam Ramadan, tetapi tidak kurang juga yang bimbang ia mungkin membuka ruang kepada gejala sosial.

Lebih membimbangkan, terdapat dakwaan aktiviti tersebut melibatkan unsur pertaruhan wang, selain dianjurkan secara tidak tersusun. Keadaan ini bukan sahaja menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan peserta, malah berpotensi menjejaskan imej aktiviti sukan komuniti.

Riadah sihat tetapi jangan disalah guna

Berlari pada waktu malam bukanlah sesuatu yang pelik, malah ia menjadi rutin untuk mengekalkan kecergasan, khususnya selepas seharian bekerja atau ketika bulan Ramadan.

Namun apabila aktiviti tersebut mula bertukar menjadi perlumbaan tidak rasmi yang menarik penyertaan ramai orang, persoalan tentang kawalan, keselamatan dan tanggungjawab mula menjadi perhatian.

Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu berkata, aktiviti berlari sememangnya memberi manfaat kepada kesihatan kerana melibatkan pergerakan seluruh tubuh badan dan membantu meningkatkan tahap kecergasan.

“Berlari adalah aktiviti sihat untuk kecergasan, tetapi jangan sampai disalah guna seperti berlumba sehingga berlaku pergaduhan atau pertaruhan wang. Itu sudah menjadi perjudian dan kita tidak mahu perkara itu berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Tegas Anil, aktiviti seumpama itu tidak sepatutnya dijalankan di lokasi sembarangan yang boleh menimbulkan risiko kepada peserta serta orang awam.

“Sekiranya program tersebut dianjurkan oleh mana-mana pertubuhan atau organisasi, penganjur wajar memaklumkan kepada pihak berkuasa termasuk pejabat belia dan sukan daerah serta polis bagi memastikan aktiviti dilaksanakan secara lebih teratur dan selamat.

“Kalau ia dianjurkan oleh pertubuhan yang berdaftar, lebih baik libatkan pihak berkuasa seperti belia dan sukan serta polis supaya aktiviti itu lebih tersusun dan mudah dipantau,” ujarnya.

Unsur perjudian tidak boleh diterima

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (Borneo), Mohd. Nur Hilmie Milus berpandangan aktiviti berkenaan sememangnya baik untuk kesihatan terutama sepanjang Ramadan , tetapi sebarang unsur perjudian dalam aktiviti tersebut tidak boleh diterima kerana jelas menyalahi undang-undang.

“Berlari itu bagus untuk kesihatan, tetapi apabila ada unsur perjudian, ia sudah menyalahi undang-undang.

“Selain itu, faktor keselamatan juga perlu diambil kira kerana ada peserta yang berlari di jalan raya tanpa pengurusan yang baik,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta agensi berkaitan mewujudkan kejohanan olahraga komuniti bagi memberi ruang kepada masyarakat menyertai sukan secara lebih teratur.

Kebimbangan keselamatan dan pertaruhan

Di sebalik kemeriahan yang dipaparkan dalam video tular, terdapat juga kebimbangan daripada komuniti pelari sendiri mengenai cara aktiviti tersebut dilaksanakan.

Bagi mereka yang terlibat secara aktif dalam dunia larian, aspek keselamatan dan etika sukan merupakan perkara yang tidak boleh dipandang ringan.

Timbalan Presiden Kelab Pelari Tawau (Tawau Runners), Sudirman Nanang berkata, walaupun aktiviti tersebut berkonsepkan sukan, pelaksanaannya menimbulkan kebimbangan terutama dari segi keselamatan dan kemungkinan wujud unsur pertaruhan wang.

“Jika dilihat dalam video yang tular, ada peserta termasuk remaja berlari sejauh 100 meter tanpa memakai kasut. Ini berisiko kepada keselamatan mereka.

“Lebih membimbangkan apabila wujud elemen perjudian dengan pertaruhan yang didakwa mencecah puluhan ribu ringgit sehingga menarik penyertaan dari luar daerah,” katanya.

Tambah beliau, keadaan itu juga berpotensi mencetuskan provokasi serta pergaduhan kerana melibatkan jumlah wang yang besar selain boleh menjejaskan nilai moral dalam sukan.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa dapat memperketat penguatkuasaan selain menggalakkan lebih banyak penganjuran acara sukan rasmi sebagai saluran lebih selamat untuk golongan muda menonjolkan bakat mereka.

Pihak berkuasa: Tiada kesalahan jika tidak ganggu awam

Wartawan TMP turut mendapatkan pandangan daripada Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Supt. Champin Piuh mengenai aktiviti ini.

Champin berkata, aktiviti berlari pada waktu malam tidak menjadi kesalahan selagi ia tidak melanggar undang-undang atau mengganggu ketenteraman awam.


Bagaimanapun katanya, sebarang penganjuran program melibatkan orang ramai perlu memaklumkan atau mendapatkan permit daripada pihak berkuasa seperti polis dan Majlis Perbandaran Tawau.

Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memudahkan pemantauan selain memastikan aktiviti dijalankan secara selamat dan tidak menimbulkan sebarang salah faham dalam kalangan masyarakat.

Related Posts

Wanita PKR desak 6 ahli Parlimen keluar parti atau berdepan tindakan disiplin

KUALA LUMPUR – Wanita PKR mendesak enam ahli Parlimen parti itu menghentikan segera sebarang gerakan politik yang disifatkan sebagai ‘bermain dua kolam’ atau berdepan tindakan disiplin tegas. Dalam kenyataan hari…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Wanita PKR desak 6 ahli Parlimen keluar parti atau berdepan tindakan disiplin

Wanita PKR desak 6 ahli Parlimen keluar parti atau berdepan tindakan disiplin

Ini bukan soal politik semata-mata

Ini bukan soal politik semata-mata

TTM sasar pengiktirafan konservasi marin IUCN Green List

TTM sasar pengiktirafan konservasi marin IUCN Green List

Dua warga Indonesia tinggal lebih masa ditahan imigresen Perlis

Dua warga Indonesia tinggal lebih masa ditahan imigresen Perlis

Premis tanpa lesen simpan 1.2 tan tepung gandum diserbu

Premis tanpa lesen simpan 1.2 tan tepung gandum diserbu

Parti baharu kerana terdesak? PKR Johor persoal agenda politik Rafizi

Parti baharu kerana terdesak? PKR Johor persoal agenda politik Rafizi