
MUKAH – Seorang lelaki warga tempatan ditahan selepas dipercayai memiliki dadah serta disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di kawasan menara syarikat telekomunikasi.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek ditahan kira-kira jam 1.45 tengah hari pada 11 Mac lalu ketika sepasukan IPD Polis Mukah menjalankan operasi di kawasan tersebut.
Menurutnya, suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan menara telekomunikasi berhampiran sebuah premis perniagaan di Jalan Mukah–Balingian cuba melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran sebaik menyedari kehadiran polis.
“Bagaimanapun, suspek berjaya ditangkap dan pihak polis terpaksa menggunakan kekerasan minimum bagi menahan lelaki berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas tubuh suspek menemukan satu keratan tiub straw lut sinar yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine seberat kira-kira 0.34 gram.
Tambah Rizal, pemeriksaan lanjut terhadap sebuah kereta milik suspek yang diletakkan di kawasan menara telekomunikasi tersebut turut menemui tiga gulung wayar tembaga serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel.
“Kesemua barang yang ditemui termasuk kenderaan suspek telah dirampas bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.
Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah untuk tindakan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang lelaki berumur 44 tahun yang merupakan juruteknik sebuah syarikat telekomunikasi turut membuat laporan polis mengenai kehilangan kabel tembaga milik syarikatnya di menara berkenaan pada hari sama kira-kira jam 5 petang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memiliki dan menggunakan dadah.
Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 431A Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan mencuri dan khianat terhadap kabel telekomunikasi.
Suspek ditahan reman selama dua hari sehingga 14 Mac bagi membantu siasatan lanjut.







