
LIMBANG – Suasana malam Ramadan di Surau Darul Hidayah, Kampung Patiambun dihidupkan dengan penganjuran Program Qiamullail: Sepertiga Malam Dengan-Mu yang menghimpunkan penduduk setempat dalam suasana penuh penghayatan, pada malam Sabtu.
Program anjuran bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Patiambun dan Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Surau Darul Hidayah itu merupakan edisi kedua pelaksanaannya sebagai usaha berterusan mengimarahkan rumah ibadah sepanjang bulan mulia ini.
Pengerusi KRT Kampung Patiambun, Zainur Rahman berkata, inisiatif berkenaan bertujuan menggalakkan masyarakat setempat, khususnya golongan belia, untuk menghidupkan malam Ramadan dengan aktiviti kerohanian di samping mengeratkan silaturahim.
“Program seperti ini penting untuk memupuk semangat perpaduan dan ukhuwah dalam kalangan penduduk.
“Kita berharap lebih ramai golongan muda akan turut serta pada masa hadapan bagi mengimarahkan surau dan memperkukuh nilai kerjasama dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, program bermula sekitar jam 10 malam dengan sesi santai dan jamuan moreh sebelum diteruskan dengan kemuncak acara iaitu solat qiamullail pada jam 3.30 pagi.

Seramai 17 jemaah yang menyertai program tersebut kemudiannya menikmati hidangan sahur secara berjemaah pada jam 4.30 pagi dalam suasana penuh kemesraan.
Pihak penganjur memaklumkan, program kerohanian ini dijadual akan diteruskan pada minggu hadapan sebagai kesinambungan ibadah sepertiga malam sepanjang Ramadan.
Inisiatif berkenaan diharap dapat menarik lebih banyak penyertaan, sekali gus memastikan Surau Darul Hidayah terus diangkat sebagai pusat aktiviti keagamaan dan penyatuan komuniti.





