Paras air empangan MADA kian merosot kepada 40 peratus

JERLUN – Paras takungan air di empangan bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) kini menurun kepada kira-kira 40 peratus berikutan kemarau yang melanda sejak hujung tahun lalu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keadaan cuaca panas serta taburan hujan yang tidak menentu kebelakangan ini turut memberi kesan kepada pengeluaran padi bagi musim penanaman semasa.

Bagaimanapun katanya, situasi tersebut masih lagi berada dalam keadaan terkawal.

“Pada tahun ini kita berdepan kemarau yang menjejaskan pengeluaran padi. Paras takungan empangan MADA kini sekitar 40 peratus.

“Walaupun hujan sudah mula turun sejak semalam dan hari ini, kesannya masih kecil kerana air perlu turun di kawasan hulu bagi menambah takungan di empangan,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) serta sesi perjumpaan bersama pemimpin peladang di kawasan MADA di sini.

Hadir sama Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Berdasarkan data di laman web MADA, Empangan Pedu mencatatkan kadar takungan air sebanyak 42.23 peratus, diikuti Empangan Muda (11.12 peratus) dan Empangan Ahning (55.96 peratus) dengan jumlah keseluruhan kadar takungan air sekitar 41.55 peratus.

Dalam pada itu Mohamad berkata, bagi musim pertama 2026 yang dijadualkan bermula April ini, MADA merancang melaksanakan kaedah tabur kering sebagai langkah menyesuaikan penanaman padi dengan keadaan bekalan air semasa.

Menurutnya, bekalan air sedia ada dijangka mencukupi untuk pelaksanaan kaedah tersebut sementara menunggu taburan hujan yang dijangka lebih kerap menjelang penghujung April.

“Langkah ini diambil bagi memastikan aktiviti penanaman padi dapat diteruskan walaupun berdepan cabaran bekalan air ketika ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, kementeriannya turut memantau perkembangan konflik di Asia Barat bagi menilai kemungkinan kesannya terhadap tahap keselamatan makanan negara.

Beliau berkata, Bahagian Antarabangsa dan Bahagian Sekuriti Makanan kementerian telah diarahkan menyediakan laporan dalam tempoh seminggu bagi menilai sebarang implikasi terhadap bekalan makanan negara.

“Buat masa ini pergantungan import makanan negara daripada negara teluk adalah rendah kerana Malaysia banyak bergantung kepada negara ASEAN seperti Vietnam dan Thailand.

“Selain itu, bekalan makanan turut diperoleh dari China, Australia, New Zealand, Argentina dan Brazil serta beberapa negara Asia Selatan seperti India dan Pakistan,” katanya.

Tambahnya, secara keseluruhan bekalan makanan negara ketika ini masih mencukupi dan tidak terjejas.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa kerana konflik berlarutan berpotensi menyebabkan kenaikan harga minyak dunia yang boleh memberi kesan kepada kos pengangkutan serta harga makanan.

“Insya-Allah bekalan makanan asas termasuk ayam, daging dan kelapa juga mencukupi untuk menampung permintaan sempena Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya lagi.

Related Posts

Kerajaan komited cari penyelesaian terbaik isu 40 peratus hasil Sabah

KOTA BELUD – Usaha memperkukuh hak dan kedudukan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus diberi perhatian secara konstruktif apabila isu tuntutan 40 peratus hasil cukai negeri diteliti dengan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Rakyat perlu faham istilah kesihatan, elak keliru penyakit

MUKAH – Tahap pengetahuan kesihatan dalam kalangan masyarakat perlu dipertingkatkan bagi memastikan mereka benar-benar memahami risiko penyakit, termasuk cara pencegahan yang betul. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pahang sambut baik keputusan teruskan SUKMA 2026 Selangor

Pahang sambut baik keputusan teruskan SUKMA 2026 Selangor

BN Negeri Sembilan komited kekal bersama Kerajaan Perpaduan

BN Negeri Sembilan komited kekal bersama Kerajaan Perpaduan

Kerajaan komited cari penyelesaian terbaik isu 40 peratus hasil Sabah

Kerajaan komited cari penyelesaian terbaik isu 40 peratus hasil Sabah

Malaysia gesa tindakan segera lindungi aktivis GSF, termasuk 10 rakyat negara ini

Malaysia gesa tindakan segera lindungi aktivis GSF, termasuk 10 rakyat negara ini

Rakyat perlu faham istilah kesihatan, elak keliru penyakit

Rakyat perlu faham istilah kesihatan, elak keliru penyakit

Mubarak diarah kosongkan Balai Luak Undang Sungei Ujong

Mubarak diarah kosongkan Balai Luak Undang Sungei Ujong