
LIMBANG – Sebanyak 13 persatuan, kelab serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di kawasan Limbang menerima peruntukan keseluruhan RM97,500 menerusi program Out Right Grant (OG) dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di Pejabat Pusat Khidmat Limbang.
Peruntukan tersebut disampaikan oleh Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah sebagai usaha menyokong pelaksanaan pelbagai program pembangunan komuniti di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, bantuan melalui Out Right Grant merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu persatuan, organisasi masyarakat serta badan bukan kerajaan melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
“Peruntukan ini bertujuan memperkukuhkan aktiviti kemasyarakatan, menyokong program pembangunan belia dan pendidikan serta meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Beliau berkata, pembangunan sesebuah kawasan bukan sahaja bergantung kepada projek-projek berskala besar, malah turut memerlukan penglibatan aktif masyarakat melalui pelbagai program di peringkat komuniti.
“Program seperti aktiviti sukan, kebajikan, pendidikan dan kebudayaan memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni serta bersatu padu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar setiap penerima peruntukan menguruskan bantuan yang diberikan dengan penuh tanggungjawab dan integriti.
“Peruntukan ini adalah satu amanah. Gunakanlah sebaik mungkin bagi melaksanakan program yang benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya.
Beliau turut berharap bantuan yang disalurkan dapat dimanfaatkan untuk memperkukuhkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di kawasan Limbang melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Majlis berkenaan turut dihadiri pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pemimpin masyarakat, wakil persatuan serta para penerima peruntukan.






